Nasionalpilihan

Ahli keluarga Lans Koperal Edrin harap jasad adiknya ditemui

Abang kepada anggota komando Lans Koperal Edrin Baintim, 25, dipercayai hilang sewaktu menjalani latihan selam di kedudukan 0.7 batu nautika barat daya Pulau Undan, Merlimau, Melaka mengharapkan adiknya ditemui.

Andy, 28, berkata, selepas empat hari operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan tidak ada tanda-tanda atau petunjuk membawa kepada penemuan adiknya.

“Kami sekeluarga tetap menaruh harapan agar adik saya ditemui,” ujarnya ringkas ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, ahli keluarga mendoakan setidak-tidaknya jasad adik bongsu daripada 10 beradik itu ditemui sejak insiden menimpa adiknya pada 7 Januari lepas.

Katanya, kali terakhir ahli keluarnya berkumpula bersama Edrin pada majlis perkahwinan kakak mereka pada 22 Mei tahun lalu.

“Ketika itu dia bercuti selama empat hari. Tidak banyak perubahan saya lihat kerana kami bersembang seperti biasa.

“Kali terakhir dia menghubungi kami menerusi panggilan video awal bulan lalu iaitu sebelum mengikuti latihan selam,” kata Andy yang juga anak kesembilan.

Jelasnya, dia mendapat tahu mengenai berita kehilangan adiknya itu kira-kira pukul 4.00 petang Selasa lalu melalui aplikasi WhatsApp.

Katanya, berita yang diterimanya amat mengejutkan dan tidak menyangka sama sekali ia melibatkan adik bongsunya.

Menurutnya, sejurus menerima berita itu dia terus menghubungi sepupunya yang kebetulan bertugas di kem yang sama iaitu di Kem Iskandar, Mersing bagi mengesahkan kejadian itu benar menimpa adiknya. – SM

(Visited 388 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button