Bola SepakSukan

Rundingan kontrak De Bruyne tertangguh gara-gara ejen ditahan

HASRAT Manchester City untuk memeterai kontrak baharu dengan Kevin De Bruyne yang melibatkan tawaran gaji 350,000 pound (RM1.94 juta) seminggu terpaksa ditunda ekoran penahanan ejen pemain tengah itu.
Patrick De Koster yang telah lama menjadi penasihat kepada De Bruyne ditahan polis Belgium selepas pemain tengah itu meminta siasatan dibuat berikutan keraguan melibatkan wang berjuta pound.
Penahanan itu telah memusnahkan harapan City bagi memeterai perjanjian untuk mengekalkan pemain berusia 29 tahun tersebut dalam masa terdekat ini.
De Bruyne yang dibeli dengan harga 50 juta pound (RM305 juta) dari Wolfsburg lima tahun lalu, bakal dilantik selaku ketua pasukan City selepas David Silva meninggalkan kelab itu.
The Blues berhasrat memberinya penghargaan itu selepas menyaksikan dia menyamai rekod 20 bantuan yang dipegang Thierry Henry dalam saingan Liga Perdana Inggeris, musim lalu.
Bagaimanapun, perancangan tersebut terpaksa ditangguhkan, walaupun De Bruyne masih memiliki baki tiga tahun di dalam kontraknya dengan nilai gaji sebanyak 300,000 pound (RM1.66 juta) seminggu.
De Bruyne telah diwakili oleh De Koster sejak 14 tahun lalu dan ejen itu telahpun dianggap sebagai sebahagian daripada keluarganya.
Syarikat milik De Koster, J & S International Football Management yang memiliki pejabat di bandar Vlezenbeek dan Knokke, selain di Senegal, ditahan ketika polis menyerbu kediamannya, Khamis lalu.
Dia ditahan di penjara dan dijadual dihadapkan di depan majistret, Rabu ini. Difahamkan, pihak berkuasa bertindak demikian selepas menerima aduan daripada De Bruyne dan bapanya, Herwig.
De Bruyne mendapati De Koster telah memindahkan sejumlah wang menerusi internet yang tidak dinyatakan di dalam dokumen rasmi dan wang itu membabitkan bilangan yang besar.
De Koster juga didakwa telah memasukkan sejumlah wang ke sebuah institusi kewangan di Liechtenstein yang mengenakan cukai yang rendah.
Penangkapan De Koster telah memberi tamparan besar kepada De Bruyne, dengan isterinya yang menunggu masa melahirkan anak ketiga mereka.
Ibu bapa pemain itu sering bercuti dengan ejen tersebut dan mereka juga telah terbang bersama bagi menyaksikan Piala Dunia 2014 di Brazil.
De Koster kini ditahan di bawah waran yang dikeluarkan oleh pakar kes penipuan, Michel Claise, hakim penyiasatan yang berpangkalan di Brussels, yang mana baru-baru ini dia telah mendakwa kes rasuah melibatkan ejen, Christophe Henrotay. – Mirror UK – SM

(Visited 71 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button