fbpx
Sukan

Dugaan Hafizh menjelang perlumbaan di Misano

BESAR dugaan yang terpaksa dilalui Hafizh Syahrin Abdullah sejak kebelakangan ini, pelbagai cerita yang dilaporkan media mengenai pelumba Moto2 negara itu.

Daripada khabar yang tersebar dia hampir berputus asa untuk meneruskan kehidupannya sebagai pelumba, sehinggalah insiden kemalangan ngeri yang menimpanya pada Grand Prix Austria, tiga minggu lalu dan yang terkini kehilangan nenda tercinta, kelmarin.

Bukan mudah sebenarnya untuk mengharungi kesemua dugaan itu sekali gus, namun, Hafizh nampaknya terus bertahan sehingga ke saat ini. Berkat sokongan keluarga dan juga peminat, anak muda berusia 26 tahun itu masih gagah berdiri, walaupun insiden kemalangan yang menimpanya di Spielberg mengejutkan ramai pihak dan mujurlah dia hanya ditimpa kecederaan ringan.

Minggu ini, Hafizh kembali ke litar perlumbaan dan ‘gelanggangnya’ kali ini ialah di Misano, San Marino. Kejohanan motosikal dunia Grand Prix San Marino yang berlangsung hujung minggu ini menanti pelumba Oceanica Aspar Team itu.

Walaupun hatinya masih bersedih kerana kehilangan nendanya, Allahyarhamah Arbaieah Mohammed yang menghembuskan nafas terakhir akibat barah paru-paru, kelmarin, perjuangan Hafizh perlu diteruskan.


Anak muda itu sedar ramai mata yang sedang memerhatikannya, sama ada yang berniat ikhlas ataupun sebaliknya, sasarannya hujung minggu ini adalah untuk bangkit dan memberikan yang terbaik.

“Terima kasih my family (keluarga saya). Terima kasih kepada semua yang telah mendoakan kesihatan apis (Hafizh) dan sedekahkan Al Fatihah buat nenek apis. Insya-Allah saya akan cuba buat yang terbaik di perlumbaan Misano, minggu ini,” kata Hafizh menerusi akaun Facebook miliknya.

Hafizh yang pernah bersaing dalam perlumbaan kelas utama, MotoGP selama dua musim, berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur ke Itali pada pukul 11 malam tadi.

Bagaimanapun, langkah Hafizh ke bumi Itali tidak semudah yang dijangka, dia diduga pula dengan masalah visa dan tidak dibenarkan menaiki kapal terbang sewaktu transit di Istanbul, Turki.

Dengan keadaan fizikal yang masih belum sembuh sepenuhnya, Hafizh yang terbang bersendirian terpaksa mendapatkan bantuan kenalan di tanah air untuk menyelesaikan masalahnya itu.

Mujurlah masalah itu dapat diatasi segera dan gara-gara masalah yang berlaku, Hafizh terpaksa mengikut laluan yang lebih panjang apabila dia perlu mengambil penerbangan lain untuk terbang ke Frankfurt sebelum menuju ke Bologna, malam ini.

Mengulas mengenai perlumbaan, hujung minggu ini, Hafizh berkata, dia yakin akan dapat memberikan tentangan terbaik di litar Misano.

“Saya tidak sabar untuk berlumba semula setelah terlepas saingan pada Grand Prix terakhir ekoran kemalangan yang menimpa saya di Austria.

“Saya sukakan litar Misano, tetapi saya masih tidak tahu keadaan diri saya pada ketika itu nanti. Kita akan lihat selepas sesi latihan bebas pertama,” katanya. – SM

Show More

Related Articles

Back to top button