fbpx
Nasional

Pengusaha makanan Melayu di KLIA terpinggir?

Peniaga Melayu hanya diberi ruang di medan selera

LAPANGAN terbang di mana-mana negara di dunia adalah pintu masuk yang mengalu-alukan pelancong luar negara.

Di situ jugalah menjadi pintu keluar pelancong ke destinasi seterusnya.

Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur atau KLIA beroperasi sejak sekian lama, menjadi tumpuan pelancong termasuk yang transit menunggu penerbangan seterusnya.

Canggih, selesa dan lengkap dengan tempat makan namun jika diamati, tiada satupun restoran yang khusus menyajikan makanan Melayu.

Tidak dinafikan menu nasi campur dan nasi padang serta nasi kandar boleh dinikmati di Food Garden yang lebih berkonsepkan food stalls.


Tetapi restoran eksklusif atau restoran khusus yang menawarkan sajian Melayu di KLIA ternyata tiada.

Pengusaha makanan Melayu hanya terbatas di medan selera semata-mata.

Rangkaian restoran makanan segera seperti McDonalds, Gloria Jeans, Paparich, Old Town White Coffee, Burger King (sekadar menyebut contoh restoran yang bukan berkonsepkan food stall) ada di KLIA.

Namun sepertimana yang menjadi persoalan, di manakah
restoran masakan Melayu?

Apakah pihak pengurusan KLIA tidak membenarkan restoran khusus yang menyajikan masakan Melayu beroperasi di sini?

Ataupun tiada yang berminat atau sanggup membuka restoran masakan Melayu di KLIA disebabkan sewa yang tinggi dikenakan terhadap penyewa?

Tetapi tidak logik kerana di Menara Berkembar Kuala Lumpur (KLCC) pun terdapat restoran makanan Melayu.

Ataupun jika menjual makanan Melayu di restoran khusus atau eksklusif di KLIA, untungnya tidak seberapa berbanding dengan rangkaian restoran makanan segera.

Sayugia diingatkan KLIA ialah tempat tumpuan penumpang pesawat dan restoran makanan Melayu ibarat ‘duta’ yang memperkenalkan citarasa makanan dan masakan Melayu kepada orang luar.

Perkara ini turut mendapat perhatian Pengerusi Yayasan Budi, Tan Sri Rais Yatim yang kecewa dengan senario di lapangan antarabangsa ini.

Gulai lemak cili padi, masak lemak tempoyak, sambal tumis, rendang, gulai, kuih muih tradisional (bukan kuih nyonya) seperti kuih keria, ondeh-ondeh, pisang goreng, cucur bawang, cekodok pisang adalah antara makanan Melayu yang perlu ada di restoran eksklusif di KLIA.

Pelancong luar yang tiba di KLIA disambut manis dengan kuih seri muka atau bingka ubi, misalnya.

Anak rantau yang berada di luar negara, apabila kembali ke tanah air pasti mahu merasa keenakan masakan Melayu.

Bayangkan duduk di luar negara, mana ada masakan siput sedut masak lemak cili padi campur rebung atau ubi keladi, mana nak dapat rendang kerang di luar negara atau simbal hitam yang popular di Pahang.

Jika ada restoran eksklusif yang khusus menyajikan masakan Melayu di KLIA, identiti masakan Melayu bukan sahaja dilihat sebagai sebahagian daripada budaya yang kita tonjolkan kepada sesiapa sahaja yang datang ke KLIA tetapi juga menu masakan Melayu dapat diangkat di peringkat antarabangsa.

Dalam melontarkan persoalan apakah restoran eksklusif yang menyajikan masakan Melayu perlu ada di KLIA, wartawan SUARA MERDEKA membuat tinjauan rambang di KLIA hari ini.

Arshad Latif

Arshad Latif, 60, berpendapat restoran makanan Malaysia yang khususnya mencerminkan makanan Melayu mesti ada di KLIA.

“Di sini susah nak makan dan harganya terlalu mahal, terutamanya makanan Melayu.

“Budaya kita Malaysia mesti nak ada kuah asam pedas, kalau orang Melaka.

“Jadi biarlah ada pelbagai jenis masakan Melayu daripada seluruh negeri di sebuah restoran Melayu eksklusif di KLIA ini,” katanya.

Lutfi Haris

Bagi Lutfi Haris, 29, beliau tidak kisah sama ada terdapat restoran yang eksklusif atau khusus menyajikan menu masakan Melayu di KLIA.

“Saya tak kisah asalkan makanannya halal,” ujarnya.

Amira Abd. Rasid, 30, berkongsi pandangan yang sama dengan Hafiz.

Bagaimanapun, beliau menambah, sekurang-kurangnya biarlah ada satu restoran masakan Melayu di KLIA.

Amira Abd. Rasid

“Ini sekurang-kurangnya memberi pilihan kepada pengunjung di sini.

“Rasanya tidak salah jika diperkenalkan makanan Melayu di sebuah restoran eksklusif di KLIA,” katanya.

Pelancong dari Bandung, Indonesia, Shintar Faisal, 43, berkata, elok jika ada restoran eksklusif yang menghidangkan makanan Melayu di KLIA

“Ini pintu masuk Malaysia. Biar ada identiti Melayunya.

Shintar Faisal

“Ciri khas Melayu terletak pada makanan. Biar ada pilihan. Makanan Melayu, masakan Melayu.

“Seperti di Indonesia, ada makanan Sunda, Jawa, Padang dan ia mencerminkan identiti bangsa,” katanya.

Pengusaha restoran makanan Melayu mungkin boleh mengambil iktibar dan mempertimbangkan cadangan pelancong dan pengunjung di KLIA agar mengorak langkah berani membuka sebuah restoran eksklusif yang khusus menyajikan masakan Melayu. – SM

Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button