Nasionalpilihan

PIRECFS Hubungkan Lapan Kompleks Hutan Utama Negara – PM

Pelan Induk Rangkaian Ekologi Central Forest Spine (PIRECFS) merupakan satu inisiatif untuk menghubungkan lapan kompleks hutan utama negara.

Ia melibatkan lapan negeri iaitu Kedah, Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor, Selangor dan Negeri Sembilan dan tujuannya adalah untuk memelihara kawasan-kawasan hutan di Semenanjung Malaysia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, inisiatif ini adalah untuk mewujudkan satu rangkaian fizikal hutan yang bersambungan di seluruh kawasan CFS, selaras dengan visi ‘reconnecting the forest’.

“Pelan induk ini juga telah mengenal pasti 39 rangkaian ekologi bagi menghubungkan kawasan hutan atau pulau hutan yang tidak bersambungan ekoran berlakunya pemisahan dan pengasingan hutan (forest fragmentation).

“Ia bagi mengurangkan konflik antara manusia dan hidupan liar dengan memastikan laluan semulajadi hidupan liar dari satu kawasan hutan ke hutan yang lain tidak terhalang dengan aktiviti pembangunan,” katanya.

Perdana Menteri berkata demikian dalam satu kenyataan selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) Ke-40, hari ini.

Melalui pelaksanaan pelan induk ini, komitmen negara untuk mengekalkan 50 peratus kawasan litupan hutan seperti yang dipersetujui semasa Sidang Kemuncak Bumi di Rio de Janeiro pada 1992 dapat direalisasikan.

“Perkara ini boleh dicapai melalui komitmen bersama di antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan-Kerajaan Negeri.

“MPFN Ke-40 turut mengambil maklum mengenai Pelaporan Status Tanah Lapang Awam (TLA) di Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Tahun 2020 yang telah disediakan oleh Kementerian Perumahan dan
Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui PLANMalaysia,” katanya.

Kerajaan menetapkan sasaran sebanyak dua hektar tanah lapang untuk 1,000 penduduk bandar. Jumlah keseluruhan tanah lapang awam di Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan ialah 23,433 hektar.

“Bagaimanapun hanya 33 peratus atau 7,662.6 hektar daripadanya telah diwartakan, 24 peratus (5,738.4 hektar) dalam proses pewartaan manakala selebihnya belum diwartakan.

“Mesyuarat meminta Kerajaan Negeri mempercepatkan proses mewartakan kawasan tanah lapang awam di seluruh negara,” katanya.

Sehubungan itu, semua Kerajaan Negeri, melalui agensi-agensi yang bertanggungjawab di bawahnya diseru untuk mengambil langkah yang lebih serius dalam menyegerakan pewartaan TLA di bawah Seksyen 62,
Kanun Tanah Negara (KTN).

Pewartaan TLA ini akan memastikan ianya kekal terpelihara dan kekal berfungsi sebagai kawasan lapang yang boleh dimanfaatkan oleh rakyat untuk tujuan rekreasi dan riadah ke arah Malaysia yang lebih berdaya huni.

 

(Visited 137 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button