fbpx
HiburanUncategorized

Realiti kehidupan Orang Asli diangkat jadi drama

DRAMA tempatan kini nampaknya sudah semakin terbuka dan tidak hanya memberi fokus kepada kisah cinta dan dunia korporat sahaja.

Sebaliknya, jarang kita dapat melihat drama-drama yang menampilkan Orang Asli di dalam kaca televisyen.

Disebabkan itu juga, Kembara Sufi Production menerusi penerbitnya, Jaja Ishak mengambil peluang untuk menerbitkan drama Anak Sena.

Menurut Jaja, drama tersebut yang bakal disiarkan di TV3 akan menyiarkan kisah sebenar kehidupan suku kaum Orang Asli Batek di Taman Negara, Pahang.

“Segala yang akan ditunjukkan dalam drama tersebut adalah paparan realiti kehidupan Orang Asli di dalam hutan.


“Sebab kita mahu lihat dan tonjolkan budaya mereka. Bukan sekadar jalan cerita sahaja,” katanya ketika ditemui Suara Merdeka baru-baru ini.

Menurut Jaja, drama bersiri lapan episod ini diarahkan oleh Isma Yusoof dan skripnya dihasilkan MF Kencana serta dijangka akan ditayangkan pada tahun hadapan.

Jelasnya, selain paparan realiti kehidupan masyarakat Orang Asli, pihaknya juga akan membariskan beberapa senarai pelakon popular untuk siri drama tersebut.

“Menerusi perbincangan yang dilakukan dengan stesen televisyen, kami ada mencadangkan nama-nama seperti Shukri Yahaya, Syafiq Kyle, Namron dan Farah Ahmad.

“Untuk lokasi penggambaran pula, ia akan dilakukan di perkampungan Orang Asli di Kuala Tahan, Taman Negara. Tidak dinafikan ia akan memberi cabaran tersendiri buat pihak produksi,” ujarnya.

Jelasnya, bukan mudah untuk membawa satu produksi masuk ke dalam hutan bagi sesi penggambaran apatah lagi ketika negara sedang berdepan ancaman Covid-19.

Dalam pada itu, ketika ditanya tentang idea untuk menghasilkan drama berkenaan, ia bermula ketika melakukan percutian ke Taman Negara. -SM

Show More

Related Articles

Back to top button