Hiburan

Pernah lamar semasa Hanie Soraya sibuk jalani ‘housemanship’, penantian Omar terbalas!

Kuala Lumpur: Selepas lebih dua tahun bercinta, penyanyi Hanie Soraya, 28, menamatkan zaman bujang dengan lelaki pilihannya juga seorang pengurus di sebuah syarikat serta pemuzik, Omar Saifuddin, 30, Ahad lalu.

Hanie berkata persiapan majlis pernikahan dan resepsi yang diadakan pada hari sama dibuat sangat singkat bermula pada Julai lalu.

“Sebenarnya sewaktu awal perkenalan dengan suami pada 2020, dia sudah serius mengajak saya berkahwin. Tapi saya kata tak payah terburu-buru dan bagi masa kenal hati budi dulu.

“Lagipun, saya sibuk menjalani ‘housemanship’ untuk dapat gelaran doktor perubatan ketika itu. Sewaktu bertunang pada Mac lalu pun, tak ramai yang tahu. Kami tak rahsiakan pun hubungan, siapa yang tahu, tahulah.

“Berkenaan persiapan, memang kira ‘last minute’ terutama baju nikah yang mana saya awalnya nakkan khidmat pereka fesyen bernama besar. Tapi tak dapat dan akhirnya pilih rekaan Kime Usof untuk menyediakannya.” katanya.

Menurut Hanie, dia sangat gembira apabila persiapan dipermudahkan meskipun ada perancangan seperti tema dan lokasi perkahwinan tidak jadi kenyataan.

“Saya memang idamkan majlis kahwin di pantai di Terengganu. Tapi, akhirnya pilih sebuah lokasi acara di Hulu Langat saja kerana memenuhi permintaan ibu yang nak jemput lebih ramai tetamu datang.

“Alhamdulillah, dari majlis nikah, sanding dan resepsi, semuanya dipermudahkan dan lancar. Kebanyakan yang hadir kenalan-kenalan terdekat, jadi acara itu sangat intim dan bermakna,” katanya.

Berkongsi mengenai Omar, Hanie berkata dia jatuh cinta dengan keperibadiannya yang cukup menyenangkan.

“Suami seorang penyabar dengan kerenah saya yang macam-macam. Kami juga memiliki personaliti yang lebih kurang. Apa saja saya buat, kehadirannya buat saya tenang dan dia sentiasa menjadi penyokong terkuat,” katanya.

Sementara itu, Omar merasakan Hanie adalah jodoh paling tepatnya atas dasar kepercayaan yang sangat kuat.

“Pertama, saya jatuh cinta dengan hati budi Hanie. Dia juga seorang yang penyayang dalam kalangan keluarga serta rakan terdekatnya. Bertemunya, hati saya terus terketuk dan mendapat kepercayaan bahawa dialah yang satu,” katanya.

Pada majlis terbabit, Hanie dinikahkan bapanya Tahar Mohd Shariff. Pihak lelaki menyerahkan lima dulang hantaran dan dibalas tujuh oleh pihak wanita manakala mas kahwin mereka dirahsiakan.

(Visited 349 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button