NasionalNegeri

Raja Muda Perlis berkenan santuni asnaf bersama GAMBI

RAJA Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menghadiri ‘Program Santuni 50 Buah Keluarga Asnaf Negeri Perlis’ anjuran Pertubuhan Kebajikan Gabungan Anak Muda Bukit Idaman (GAMBI) Selangor Dan Kuala Lumpur di Masjid Nurul Al-Maghfirah, Kepala Batas Sanglang, semalam.

Program yang diadakan serentak dengan Kayuhan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) Peduli Bilangan Ke-58 tahun 2022 itu kali ini dianjur Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Perlis (JAIPs).

Keberangkatan Baginda disambut Pengerusi GAMBI, Md Zuhaidi Hashim dan Setiausahanya, Muhammad Izzat Adzmey.

Turut serta Duta GAMBI, Imam Muda Hizbur Rahman Omar Zuhdi dan sukarelawan pertubuhan ini.

Ini merupakan sebahagian daripada program bulanan pertubuhan tersebut yang dijenamakan sebagai “GAMBI Jelajah Malaysia” dalam siri menyantuni keluarga asnaf di luar Selangor dan Kuala Lumpur.


Sempena kayuhan itu, Baginda berkenan singgah menyantuni tiga buah rumah asnaf terpilih bagi menyerahkan zakat MAIPs dan juga GAMBI.

Ia berupa kotak berisi barangan makanan dan keperluan dapur.

Selepas majlis berkenaan semasa bertitah, Baginda turut menyentuh mengenai Hari Kebangsaan Ke-65 yang bakal tiba pada 31 Ogos ini.

Titah Baginda, semua rakyat diminta bersama-sama mengekalkan perpaduan dan integrasi kaum, budaya dan kesetiaan yang sedia terjalin demi untuk kemakmuran dan kesejahteraan negeri dan negara yang disayangi ini. – SM

(Visited 47 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button