Nasional

Kerajaan pinda undang-undang kawal kenderaan mikromobiliti

PENGGUNAAN kenderaan jenis mikromobiliti seperti skuter dan basikal elektrik sama ada dua ataupun empat roda akan datang bakal dikawal.

Ini bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya terjamin apabila kenderaan sedemikian digunakan secara tidak terkawal.

Justeru, kerajaan akan menguatkuasakan beberapa peraturan termasuk melarang kenderaan sedemikian daripada memasuki jalan raya.

Penguatkuasaan itu akan mula dilaksanakan apabila Rang Undang-Undang (RUU) Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020 diluluskan.

“Inilah yang ditakrifkan sebagai mikromobiliti yang termaktub di dalam Rang Undang-Undang Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020.

“Ia telah diluluskan oleh Dewan Rakyat dan ianya akan dibentangkan di Dewan Negara untuk kelulusan pada bulan ini.

“Ini bukan sebarang basikal kerana ia berbahaya lebih-lebih lagi untuk digunakan di atas jalan raya.

“Ia perlu dikawal sebelum berlakunya kemalangan bukan sahaja kepada diri sendiri, tetapi juga kepada pengguna jalan raya lain.”

Demikian kata Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong dalam satu kenyataannya hari ini.

Menurut beliau, dalam pindaan RUU berkenaan, kerajaan menggariskan tiga fokus yang dipandang serius.

Ia termasuklah isu berkaitan perlindungan insurans dan juga lesen kenderaan.

“Isu keselamatan orang ramai terutamanya pengguna jalan raya lain, kerana tiadanya perlindungan insurans.

“Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) akan mengawal selia jenis-jenis penggunaan kenderaan ini.

“Seperti mewajibkan pendaftaran dan mempunyai lesen memandu termasuk jika bersesuaian, melarang penggunaan jenis-jenis kenderaan sebegini daripada digunakan di atas jalan raya.

“Setelah diwartakan dan menjadi undang-undang, MOT akan mengelaskan jenis-jenis kenderaan di bawah kategori mikromobiliti ini.

“Mana yang wajar dilesen dan didaftarkan, akan diwajibkan berbuat demikian.

“Mana-mana jenis yang dari segi keselamatan tidak sesuai digunakan secara bercampuran di atas jalan raya, akan dihalang daripada digunakan,” jelasnya.

Oleh demikian, beliau turut mengingatkan pengguna jalan raya supaya tidak menimbulkan risiko keselamatan kepada orang lain.

“Jadilah pengguna yang bertanggungjawab,” tegasnya.

Terdahulu, tular sebuah video memaparkan seorang pengguna jalan raya menggunakan sejenis skuter elektrik.

Kejadian tersebut dirakam pengguna yang lain ketika skuter tersebut dilihat memasuki jalan utama dengan menggunakan lorong kecemasan. – SM

(Visited 330 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan

Wartawan, petugas media Suara Merdeka

Related Articles

Back to top button