Nasional

Bawa bil beralamat kediaman ketika keluar rumah atau ditangkap

BAWA bil beralamat kediaman ketika keluar rumah jika tidak mahu dikenakan tindakan oleh polis sewaktu tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berakhir 14 April ini.

Bil beralamat kediaman itu sebagai bukti sekiranya ada keperluan untuk keluar bagi tujuan yang dibenarkan sepanjang tempoh itu.

Ketua Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Selangor, selaku jurucakap khas Op COVID-19 Polis Selangor, ACP Mohd Ismail Muslim, berkata langkah itu sebagai persediaan menunjukkan mereka memenuhi syarat dalam Peraturan 4, Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

Memetik laporan BERNAMA, beliau berkata, menerusi Peraturan 4 yang berkuat kuasa semalam hingga berakhirnya PKP, had perjalanan individu yang keluar rumah bagi tujuan dibenarkan adalah ditetapkan dalam radius tidak melebihi 10 kilometer dari kediaman.

Namun, sekiranya individu yang berada di luar rumah kerana bertugas dengan perkhidmatan penting, adalah memadai dengan membawa surat kebenaran daripada ketua jabatan atau syarikat masing-masing.

“Jika pergerakan untuk tujuan bertugas, bil (beralamat kediaman) bukan justifikasinya tetapi memerlukan surat kebenaran bekerja daripada ketua jabatan atau syarikat.

“Kita harapkan dalam tempoh PKP ini, letaklah bil dalam kereta sementara sebagai persediaan untuk sebarang kemungkinan kerana kalau polis tanya justifikasinya hendak ke mana, kita sebut nak balik rumah atau membeli barang keperluan, kita boleh tunjuk (bil berkenaan),” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Beliau berkata pasukan keselamatan itu juga akan diperjelaskan dengan lebih lanjut mengenai peruntukan dalam peraturan berkenaan bagi melancarkan lagi pelaksanaan PKP.

Ditanya mengenai sekatan jalan raya, Mohd Ismail, berkata Polis Selangor akan menambah jumlah sekatan dari semasa ke semasa khususnya di laluan keluar masuk lebuh raya bagi mengurangkan pergerakan masyarakat antara negeri.

Selain sekatan jalan raya yang dilakukan 24 jam itu, polis juga akan menambah jumlah penutupan jalan raya termasuk di laluan alternatif dari semasa ke semasa, katanya.

Ditanya sama ada terdapat pegawai dan anggota kontinjen Selangot positif COVID-19 setakat ini, beliau berkata hanya 42 pegawai serta anggota sedang dikuarantin namun tiada kes positif wabak berkenaan. – BERNAMA

 

(Visited 167 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button