fbpx
Nasional

Raja Abdullah tawarkan derma kerana kagum dengan cara Najib

BEKAS Raja Arab, Almarhum Raja Abdullah  menawarkan derma kepada Datuk Seri Najib Tun Razak kerana almarhum sangat kagum dengan bekas Perdana Menteri itu.

Perkara itu didedahkan oleh bekas Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman yang memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini bahawa almarhum Raja Abdullah merupakan penyokong kuat Najib.

“Raja Abdullah mahu memberikan sumbangan derma kepada Najib kerana beliau kagum melihat cara negara ini diterajui dalam kesederhanaan.

“Sumbangan itu juga diberikan kerana mahu membantu mengekalkan kestabilan sedia ada terutamanya dengan mengekang pengaruh ekstremisme yang tidak baik dari luar.

“Pada masa sama, Raja Abdullah juga mendapat tahu Malaysia bakal berdepan dengan Pilihan Raya Umum ke-13 dalam tempoh kurang dari tiga tahun ketika mesyuarat itu diadakan,” kata beliau seperti yang dipetik dari laporan Malaysia Gazette.

Anifah hari ini tampil sebagai saksi pembelaan perbicaraan SRC International Sdn Bhd yang sudah masuk hari ke-80 menyatakan perkara itu ketika membaca keterangan saksinya di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Menceritakan bagaimana akrabnya hubungan Raja Abdullah dan Najib sehingga menawarkan seekor kuda Arab kepada Najib apabila mendapati bekas perdana menteri itu terpesona melihat sebuah lukisan yang mempamerkan kuda jantan Arab di laluan keluar Istana di Riyadh.

“Raja Abdullah mengambil maklum pujian itu dan menawarkan kepada Najib salah seekor kuda Arab jantan yang dimilikinya.

“Namun begitu, Najib telah menolaknya dengan sopan sambil menyatakan beliau tidak pandai menunggang kuda,” kata Anifah.

“Apa yang saya lihat di situ, tawaran seperti itu sudah menunjukkan betapa hubungan mereka sangat rapat malah saya boleh katakan mereka sudah umpama ‘anak dan bapa’ bagi bertemu apatah sering berpegang tangan dengan begitu erat,” ujarnya.

Najib kini sedang membela diri terhadap tujuh pertuduhan menyeleweng RM42 juta dana SRC International yang terdiri daripada tiga pertuduhan jenayah pecah amanah, tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan menyalahgunakan kedudukannya berkaitan dengan dana SRC.

Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button