Politik

Rais tegur Tok Mat, Nur Jazlan, Tajuddin pandang rendah Perikatan Nasional

TAN Sri Dr. Rais Yatim menegur tindak tanduk sebilangan pemimpin UMNO yang memperkecilkan perjuangan cantuman politik Melayu dalam Perikatan Nasional (PN) yang disifatkan beliau berbahaya kepada orang Melayu sebagai teras kuasa politik Malaysia.

Pengerusi Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Negeri Sembilan itu menarik perhatian mengenai Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan yang kelihatan tidak senang dengan kerajaan campuran Bersatu, UMNO dan Pas.

Kata beliau, `tudingan jari’ oleh Mohamad atau Tok Mat menekankan PN tidak berdaftar dan bukan satu ikatan yang formal dan kekal.

Baca link: https://suaramerdeka.com.my/syed-saddiq-puji-mohamad-hasan-tolak-jawatan-glc/

Pada masa sama, kata pakar perlembagaan dan undang-undang itu, bekas Timbalan Menteri dari Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed mencabar pula Bersatu ‘kalau berani bubar Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor’ manakala Ketua UMNO Bahagian Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Rahman `merungut’ ikut caranya.

“Katanya (Mohamad) hanya UMNO dan Pas yang diiktirafnya sebagai ikatan sebenar pada pilihan raya umum ke-15. Sama ada ini pandangan beliau sahaja atau merupakan falsafah kolektif Majlis Tertinggi UMNO setakat ini belum diketahui.

“Bedilan mulut daripada pemimpin-pemimpin UMNO ini adalah tempelak yang menampakkan sikap ‘rumah siap pahat berbunyi’.

“Tampak PN dipandang rendah oleh pemimpin-pemimpin ini. Mereka tampak tak menilai tinggi adunan perpaduan Melayu-Bumi yang dilakukan oleh ketiga-tiga parti utama Bumiputera itu.

“Kemeroyanan mereka itu semacam melupai realiti bahawa UMNO, Bersatu dan Pas memerlukan antara satu dengan lain. Mereka wajib demi bangsa dan agama berkongsi peranan dan kuasa.

“Apapun komen-komen sindiran dari beberapa orang pemimpin tinggi UMNO ini tak baik bagi bangsa majoriti Malaysia dalam saat mencabar musim anti COVID-19 ini,” kata beliau kepada SUARA MERDEKA hari ini.

Baca juga https://suaramerdeka.com.my/bersatu-jangan-cakap-banyak-kalau-berani-bubarlah-dun-johor-nur-jazlan/

Tegas Rais, dalam isu ini, MCA dan MIC tidak berkata apa-apa sebaliknya mereka meneruskan sahaja perkhidmatan mereka.

“Komen-komen Timbalan Presiden UMNO dan rakan-rakannya itu menampakkan rasa tak puas hati dengan kerajaan PN, lantas dengan pimpinan yang ada dalam kerajaan kini.

“Semacam persefahaman Bersatu, Pas dan UMNO itu tak ada nilai tinggi dalam sosok badan siasah kebangsaan,” kata beliau.

Rais turut mengingatkan pemimpin-pemimpin politik supaya jangan dilupakan ratusan ribuan kaum asing yang cuba meredah sempadan dan undang-undang negara, lalu `memperoleh’ kad pengenalan biru dalam sekelip mata.

“Jangan lupa bahasa kebangsaan kita yang dah dicabul dalam tempoh dua minggu Pakatan Harapan berkuasa; jangan lupa Semenanjung Tanah Melayu dah tak ada; Perkara 153 dah tinggal hanya ungkapan kosong, bahasa Melayu dilanyak siang malam oleh petualang; Dasar Ekonomi Bumiputera kita telah diketepikan demi kemajmukan, konon segan silu nak lakukan sesuatu. Pemimpin kita sendiri cap Melayu malas,” kata beliau.

Sambung Rais lagi:

“Kita takut apa orang lain kata. Budaya bangsa sudah tolak tepi, kini kebangsaan Melayu bumiputera sudah dilarikan angsa mendatang.

“Keislaman kita lebih pada teatrika bukan kandungannya. Justeru mesti terima semua entiti Melayu bumiputera wajib bersama menguatkan politik bumiputera. Kita saling memerlukan adunan perjuangan bersama untuk menguatkan simpai kuasa nasional.”

Dalam hal ini, beliau mempersoalkan “adakah komen-komen Timbalan Presiden UMNO, Ketua UMNO Bahagian Pulai dan Pasir Salak itu dibuat lantaran tak setuju selepas pelantikan Kabinet PN atau memang pendirian mereka sebelumnya?”.

“Didapati cakap mereka itu adalah cakap selepas pembentukan Kabinet Tan Sri Muhyiddin Yassin. Mungkin juga pihak yang punya badan tak dilantik sebagai menteri atau orang penting dalam kerajaan sekarang?

“Sabar, tunggulah kejap. Ambillah jawatan-jawatan koporat utama yang lain dulu. Ini amat sesuai bagi Timbalan Presiden UMNO yang tersohor sebagai pemimpin koporat sebelum ini.

“Walau apapun buat masa depan negara bangsa jika Melayu Bumi sebagai pemegang amanah kuasa terbesar tidak bersatu hati bersama dan bekerjasama memerintah, kuasa anak negeri akan luntur.

“Negara ini akan cacamarba dengan asuhan sosialisme semata-mata. Pengalaman kerajaan PH 22 bulan sudah menginsafkan bahawa Melayu yang tak kisah keutamaan bangsanya tidak akan kekal berkuasa,” katanya.

Rais turut mengingatkan, diri dalam perjuangan penting tapi bangsa penting lagi.

“Jenama perjuangan kita mesti terasas kepada keadilan untuk rakyat. Pemimpun khadam, rakyat raja. Lagipun jangan dilupai rakyat tak mahu lagi pemimpin rasuah, salahguna kuasa. Rakyat mahukan kerajaan yang pedulikan mereka.

“Para pimpinan yang bedepan kes mahkamah, biar mereka bersihkan nama mereka dahulu di muka pengadilan. Kita yang satu saf adunkan semangat musyawarah.

“Kini ada tiga cogankata hikmat: Bersatu Bersetia Berkhidmat; Bersatu Beramanah Bermaruah dan Membangun Bersama Islam. Jika diadunkan kesemua ini kepada kerjasama perjuangan politik tanah air, bangsa akan kekal sebagai tulang belakang pemerintahan negara. Jangan kita lupa selama 22 bulan UMNO dan Pas hilang kuasa di Persekutuan, apa jadi?

“Nilai kita, hak kita, nilai bangsa berserabut macm roti canai siap ditepuk tangan mamak. Sebelum pemerintahan PH, Pas hanya dapat Kelantan dan Terengganu. Kini UMNO dan Pas melalui jambatan Bersatu di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin sudah rasa kuasa kembali dan sah di sisi Perlembagaan Persekutuan.

“Syukur dan hargailah dengan pengertian al-Qur’an bahawa Allah menentukan kuasa pemerintahan mengikut kehendaknya….Ayuh tali tiga sepilin, tungku tiga seherangan jalankan khidmat demi bangsa negara dan agama,” kata Rais. – SM

(Visited 772 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button