fbpx
Uncategorized

Puteri Sharifah Khatreena rasmi bazar amal

Anakanda sulung kepada Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil iaitu Puteri Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail diundang berangkat bagi merasmikan majlis penganjuran ‘Bazar Amal Tahunan’ anjuran Persatuan Isteri Wakil Ketua-Ketua Diplomat di Malaysia (SOHOM) 2019 yang berlangsung di Mayang Sari Ballroom, Hotel JW Marriot, Kuala Lumpur.

Ketibaan Puteri Sharifah Khatreena disambut oleh Presiden SOHOM , Triana Nechytaylo yang merupakan isteri kepada Tuan Yang Terutama Duta Besar Ukraine ke negara ini, Olexander Nechytaylo.

Turut hadir ialah Pengarah Eksekutif YTL Corporation Berhad Datuk Yeoh Soo Min yang juga merangkap Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Tuanku Fauziah (YTF).

‘SOHOM International Charity Bazar 2019’ dianjurkan buat kali kedua berskala besar dan dijayakan pada kali ini oleh 49 ahlinya, mewakili negara masing-masing serta 16 vendor dari seluruh dunia termasuklah Kuwait, Maghribi, Argentina, Ukraine, China, Indonesia, Jepun, Turki dan Filipina.

Para peserta mengambil peluang menjual selain memperkenalkan produk negara masing-masing antaranya sajian tradisional, barangan perhiasan rumah, alat solek, barangan penjagaan kulit dan pakaian.


Beberapa peratus hasil keuntungan jualan bakal disalurkan kepada lebih 10 rumah kebajikan terpilih di seluruh negara.

Bazar berkenaan bukan sekadar dianjurkan bagi menjual, mempromosi dan memperkenalkan keunikan produk dari negara luar kepada pengunjung tetapi objektifnya ialah bagi menggalakkan ahli menyalurkan bantuan dana kepada komuniti setempat di negara ini melalui pelbagai aktiviti kebajikan dan juga kemanusiaan.

Show More

Related Articles

Back to top button