MahkamahNasionalUncategorized

Guru KAFA hempas murid atas kerusi kayu hingga patah kaki dihadap ke Mahkamah

GURU kelas agama dan fardu ain (KAFA), Ahmad Mursyidin Abdullah, 37, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Terengganu atas tuduhan menyebabkan kecederaan terhadap seorang murid lelaki sehingga kakinya patah.

Tertuduh membuat pengakuan tersebut pada Julai lalu setelah pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Majistret Engku Nurul Ain Engku Muda.

Guru KAFA itu didakwa sengaja menyebabkan kecederaan parah terhadap mangsa, murid lelaki berusia sembilan tahun sehingga menyebabkan patah tulang di bahagian kaki kanan murid itu patah dengan cara mengangkat dan menghempas murid itu di atas kerusi kayu.

Kejadian itu didakwa berlaku dalam kelas di sebuah sekolah rendah di daerah Marang sekitar pukul 4.15 petang, 6 Julai lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun dan denda.

Majistret Engku Nurul Ain membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan Mahkamah menetapkan 17 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Mahkamah turut menetapkan syarat tambahan iaitu tertuduh tidak boleh mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan sepanjang prosiding berkenaan serta tidak boleh terbabit dengan jenayah.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nik Rabiatul Adawiyah Nik Soupy manakala tertuduh diwakili peguam Abdul Hayyi Salim.

Dalam kejadian Julai lalu, insiden itu disedari oleh ibu mangsa yang berusia 36 tahun sewaktu mengambil kanak-kanak itu pulang dari kelas KAFA pada pukul 5 petang.

Murid itu kemudian dibawa ke klinik berhampiran bagi pemeriksaan dan disahkan kakinya patah.

Ibu bapa mangsa membuat laporan polis berhubung kejadian itu pada 8 Julai lalu. – FMT – SM

 

(Visited 128 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button