Nasional

Program Jom Ke Sekolah CSR ceriakan 900 anak yatim Selangor

Sebanyak 900 anak-anak yatim di Selangor telah menerima barangan kelengkapan persekolahan sesi 2022/2023 sejak akhir Mac lalu menerusi Program Jom Ke Sekolah Bersama Central Sugar Refinery (CSR) Sdn. Bhd.

Pengarah Bahagian Hal Ehwal Korporat CSR, Rozita Ahmad berkata, pihaknya telah bekerjasama dengan Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) bagi menjayakan program ini.

“CSR bekerjasama dengan YIDE sejak 2018 lagi bagi menyantuni anak-anak dari pusat kebajikan anak yatim di sekitar Selangor,” katanya selepas program berkenaan di Rumah Bakti Al Kausar, Bandar Baru Bangi, Selangor, semalam.

Sebanyak 50 anak-anak yatim di rumah ini juga menerima duit raya.

Rozita berkata, pada tahun ini, CSR peruntuk sebanyak RM150,000 bagi menzahirkan program ini sebagai Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) bagi menyantuni masyarakat serta komuniti yang memerlukan.


Katanya, program yang telah masuk tahun kelima ini menyasarkan lebih ramai lagi anak-anak yatim dalam persiapan mereka ke sesi persekolahan baharu.

“Pada tahun lepas, sebanyak 17 pusat kebajikan telah dikenalpasti dan alhamdulillah tahun ini kita telah kembangkan kepada 19 pusat kebajikan anak yatim di sekitar negeri Selangor,” ujar beliau.

Rozita berharap, dengan sumbangan ini dapat menyuntik semangat serta keceriaan kepada anak-anak ini untuk memulakan alam persekolahan dengan cemerlang sekali gus mempertingkatkan prestasi akademik.

Sementara itu, Ahli Lembaga Pemegang Amanah YIDE, Datuk Seri Khanafi Hussin pula menzahirkan penghargaan terima kasih kepada rakan strategik korporat CSR di atas sumbangan yang diperuntukkan bagi menjayakan program ini.

“Alhamdulillah sumbangan perkakasan persekolahan yang diterima telah diedarkan kepada 19 buah rumah anak yatim seliaan YIDE secara berperingkat bermula 13 April 2022 yang lalu,” katanya.

Katanya, baju sekolah yang digunakan oleh anak anak yatim melalui sumbangan CSR ini adalah dijahit sendiri oleh asnaf-asnaf yang mendapat latihan daripada Teraju Ekonomi Asnaf Sdn. Bhd. – SM

(Visited 45 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button