Politik

PRN Sabah: Dangkal jika kata MCA tidak relevan, perlu dikuburkan

MCA menyifatan pihak yang mengatakan parti itu sebagai tidak relevan dan perlu dikuburkan sebagai dangkal hanya kerana empat calon MCA kalau pada Pilihan Raya Negeri Sabah.

Jurucakap MCA Chan Quin Er berkata, parti itu mengakui masyarakat Cina di Sabah masih belum menerima MCA dan belum lagi mahu kembali kepada BN

Bagaimanapun Quin Er berkata, sokongan masyarakat Cina di Sabah berbeza dengan apa yang berlaku di Semenanjung pada pilihan raya kecil yang diadakan sebelum ini.

“Misalnya PRK Tanjung Piai, calon dari parti MCA iaitu Datuk Seri Dr. Wee Jeck Seng menang dengan majoriti 15,086 undi sekaligus berjaya merampas semula kerusi Tanjung Piai daripada PH.

“Begitu juga dengan PRK Slim di Perak. Semua PDM yang ramai pengundi Cina telah menunjukkan sokongan mereka kepada calon BN yang diwakili oleh Mohd Zaidi Aziz daripada parti UMNO,” kata Quin Er.

Tegas beliau, sebagai sebuah parti politik, MCA akan melihat secara terperinci sikap pengundi.

Katanya, Sikap atau kecenderungan sokongan pengundi sentiasa berubah-ubah mengikut pelbagai faktor, sama ada kawasan dan sebagainya.

“Kalau kita lihat sejak PRU12 hingga PRU14 lalu, masyarakat Cina disuntik dengan politik fitnah dan kebencian. MCA dilabel ‘budak suruhan’ UMNO dan tidak mempunyai ‘taring’ dalam kerajaan BN.

“Inilah cara politik jahat yang dimainkan pihak tertentu untuk memecah-belahkan parti komponen BN. Lebih teruk, ia juga memecah-belahkan masyarakat berbilang kaum di negara ini.

“Dangkal sekali jika mahu kata MCA tidak relevan dan perlu dikuburkan. Ayat ini sama saja dengan apa yang pernah dikeluarkan oleh Tun Dr. Mahathir terhadap UMNO. Apakah UMNO berkubur selepas PRU14?” tanya Quin Er.

Justeru menurutnya, kekalahan empat calon MCA pada PRN Sabah tidak sepatutnya dijadikan senjata untuk menghukum MCA atau mematikan perjalanan politik MCA yang telah bertapak di Malaysia sejak negara belum merdeka.

Quin Er berkata, MCA akan bekerja lebih kuat khususnya dalam usaha mengembalikan semula sokongan pengundi Cina.

“Apa yang pasti, khidmat bakti MCA bukanlah hanya untuk kaum Cina semata-mata. Sebagaimana prinsip MCA, kami mahu membela dan memperjuangkan nasib rakyat di Malaysia tanpa mengira kaum.

“MCA tidak akan berputus asa dan MCA tidak akan terkubur dengan mudah!” kata Quin Er.-SM

(Visited 231 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button