PolitikPRK

PRK Chini: BN mahu kemenangan dengan majoriti besar

Barisan Nasional berharap parti itu melalui calonnya Mohd Shahrim Md Zain akan memperoleh majoriti yang lebih besar dalam Pilihan Raya Kecil(PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini.

Pengerusi BN Negeri Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, jentera BN telahpun bersiap sedia dan akan terus digerakkan.

“Saya menyambut baik penyertaan calon-calon bebas menentang calon Barisan Nasional (BN), Sdr Mohd Sharim Md Zain pada Pilihanraya Kecil (PRK) N 23 Chini ini.

“Sungguhpun saya berharap tiada pertandingan memandangkan negara dan negeri masih dibelenggu wabak pandemik COVID-19, namun tidak menjadi kenyataan.

“Oleh itu, jentera BN yang sentiasa bersiap-siaga, akan terus digerakkan demi memastikan calonnya, Sdr Mohd Sharim – anak peneroka dalam kalangan generasi kedua FELDA, menang pada PRK ini dengan majoriti besar,” kata Wan Rosdy.

Sementara itu beliau menyeru calon dan penyokong parti yang bertanding mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan agar wabak pandemik Covid-19 tidak merebak.

Wan Rosdy turut mengingatkan agar calon dan penyokong parti yang bertanding menjauhkan perbuatan keji seperti menfitnah.

“Saya ingin mengingatkan calon-calon bebas atau pihak-pihak yang menyokong mereka, agar mengamalkan kempen secara sihat khususnya tidak melakukan perbuatan keji seperti membuat tohmahan dan fitnah-memfitnah.

“Sambil itu berharap, calon-calon dan penyokong, dapat sentiasa akur kepada segala Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan agar wabak pandemik COVID-19 tidak menular lebih meluas semasa dan selepas PRK N23 Chini ini, Na’uzubillah,” kata Wan Rosdy.

PRK Chini menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN) dan dua calon Bebas.

BN mempertaruhkan generasi kedua Felda Chini, Mohd Shahrim, 41, yang juga Pengerusi Majlis Belia Felda Wilayah Kuantan bagi mempertahankan kerusi DUN itu kekal milk BN.

Timbalan Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Pekan, Datuk Tengku Zainul Hisham Tengku Hussin, 64, pula tampil sebagai calon Bebas yang menggunakan simbol rumah.

Seorang lagi calon Bebas, Mohd Shukri Mohd Ramli, 49, yang merupakan aktivis masyarakat menggunakan simbol kunci yang disifatkan beliau sebagai simbolik untuk ‘membuka sejarah’ supaya penduduk setempat dapat menerima individu tanpa parti sebagai wakil rakyat.

PRK DUN Chini diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Seri Abu Bakar Harun, 60, pada 6 Mei lalu di Hospital Kuala Lumpur akibat serangan jantung.

Abu Bakar menjadi wakil rakyat kawasan itu sejak Pilihan Raya Umum ke-11.

Pada PRU-14 lalu, Abu Bakar menang dengan majoriti 4,622 undi selepas memperoleh 10,027 undi menewaskan calon PAS Mohd Fadhil Noor Abdul Karim yang mendapat 5,405 undi manakala Mohamad Razali Ithnain dari PKR sekadar memperoleh 1,065 undi.-SM

(Visited 174 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button