Politik

Ahli Parlimen Kuala Langat keluar PKR, sokong kerajaan PN

AHLI Parlimen Kuala Langat Datuk Dr. Xavier Jayakumar mengisytiharkan keluar Parti Keadilan Rakyat. Naib Presiden PKR itu membuat kenyataan keluar serta-merta dari parti itu sebentar tadi.

“Saya akan terus berkhidmat kepada kawasan Parlimen saya dan akan akan memberikan sokongan kepada kerajaan sebagai Ahli Parlimen bebas.

“Saya yakin saya akan memenuhi janji pilihan raya yang telah saya buat kepada Ahli Parlimen Kuala Langat,” kata beliau dalam kenyataan tersebut.

Xavier menyertai PKR sejak parti itu ditubuhkan pada tahun 1998. Menurutnya, beberapa peristiwa sejak setahun lalu menyebabkan beliau berasa kecewa.

Jelasnya, sepatutnya keutamaan pada waktu ini adalah menyokong usaha kerajaan untuk membendung penularan pandemik Covid-19, mencipta peluang pekerjaan dan membina ekonomi.


Sokongan tanpa mengira parti politik diperlukan untuk memastikan segala usaha yang dilakukan oleh kerajaan.

“Rakyat mahukan kestabilan dan memacu semula sektor ekonomi yang sedang tenan. Menuju kearah ini kita perlu bekerjasama, bukannya menentang antara satu sama lain,” katanya.

 

 

Xavier adalah ahli Parlimen PKR yang ketiga PKR mengisytiharkan keluar daripada parti tersebut dalam tempoh terdekat.

Sebelum ini Ahli Parlimen PKR Larry Sng dari Julau dan Stephen Choong dari Tebrau telah keluar parti pada hujung Februari lalu dan menyatakan sokongan penuh mereka kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pada 24 Februari lalu Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Azam Baki mengesahkan siasatan telah dibuka pihaknya terhadap Xavier yang merupakan bekas Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli dan Timbalan Pengerusi PKR Perak, MA Thinagaran.

SPRM sebelum ini turut mengesahkan telah menahan seorang Timbalan Pengerusi sebuah parti politik yang mempunyai kaitan dengan seorang bekas menteri kerana disyaki menerima rasuah daripada beberapa syarikat yang memperoleh projek di sebuah kementerian pada 2019.

Turut ditahan dalam operasi yang dijalankan di sekitar Ipoh itu ialah dua pengarah syarikat.

SPRM telah merampas sejumlah wang tunai berjumlah RM1.2 juta yang dipercayai wang rasuah disimpan di rumah dan pejabat proksi kepada bekas menteri dan Timbalan Pengerusi tersebut.

Turut dirampas ialah sebuah kereta mewah yang digunakan oleh bekas menteri tersebut sebagai kenderaan rasmi dan dipercayai milik salah seorang pengarah syarikat yang diluluskan projek berkenaan.

Setakat ini, beberapa akaun syarikat dan individu berjumlah RM77 juta juga telah dibekukan untuk tujuan siasatan. -SM

(Visited 350 times, 1 visits today)

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Back to top button