Politik

Presepsi awam antara elemen nilai prestasi 100 hari menteri

Persepsi awam terhadap Menteri dan kementerian, jabatan di bawah tanggungjawab mereka akan menjadi antara tiga elemen yang akan dinilai terhadap prestasi 100 hari ahli Kabinet tersebut.

Menurut Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, prestasi ahli Kabinet juga akan dinilai dari segi prestasi kementerian/jabatan dan penilaian kepimpinan berdasarkan keberkesanan keberhasilan inisiatif.

Katanya, mesyuarat Jemaah Menteri pada 10 September 2021 bersetuju agar ahli Jemaah Menteri membentangkan laporan prestasi setiap aspirasi masing-masing bagi 100 hari pertama.

Pelaksanaan inisiatif-inisiatif bagi setiap aspirasi adalah berlandaskan enam teras utama.

Ia melibatkan Menstruktur Semula Ekonomi, Menjamin Keselamatan dan Ketenteraman Negara, Meningkatkan Kesejahteraan Sosial, Mempertingkatkan Infrastruktur Menyeluruh, Memperkukuh Penyatuan dalam Acuan Keluarga Malaysia dan Memperkasa Penyampaian Perkhidmatan.

“Dalam hal ini, Pejabat Ketua Setiausaha Negara, Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) dan Unit Penyampaian Kemakmuran Bersama (SEPADU) akan bertindak sebagai penyelaras bersama bagi memastikan perancangan, pelaksanaan, pemantauan dan penambahbaikan setiap aspirasi Keluarga Malaysia oleh Ahli Jemaah Menteri dapat dijayakan dengan cemerlang,” kata Ismail Sabri dalam satu kenyataan.

Ismail Sabri berkata, beliau telah mengadakan sesi bersama kesemua 31 ahli Jemaah Menteri untuk memuktamadkan senarai aspirasi yang telah dicadangkan pada 24 September dan 29 September lalu.

Katanya, semua Jemaah Menteri telah diarahkan untuk mengumumkan Kad Laporan Pencapaian Aspirasi Keluarga Malaysia 100 hari kepada rakyat.

Kad laporan tersebut sebagai menilai pencapaian pretasi Menteri dan Kementerian demi kesejahteraan Keluarga Malaysia.

Ismail Sabri menegaskan, Kerajaan meletakkan pencapaian aspirasi tersebut bagi setiap Ahli Jemaah Menteri sebagai keutamaan tertinggi bagi memberi khidmat terbaik kepada rakyat.-SM

(Visited 196 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button