Politik

DAP terkejut Pegerusi PH Johor ajak UMNO bekerjasama

DAP melahirkan rasa terkejut dengan kenyataan Pengerusi Pakatan Harapan Johor, Aminolhuda Hassan yang mempelawa UMNO untuk mengadakan kerjasama di negeri itu.

Menurut Pengerusi DAP Johor Liew Chin Tong, perkara tersebut tidak pernah dibincangkan dalam sebarang mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Harapan Johor.

Tegas Pengarah Pendidikan Politik DAP tersebut, Majlis Pimpinan Pakatan Harapan Johor mengamalkan pendekatan musyawarah dalam setiap perancangan dan tindakan.

“Sebagai salah satu parti komponen Pakatan Harapan negeri, DAP Johor berasa agak terkejut dengan kenyataan berkaitan pelawaan kerjasama PH – UMNO di Johor untuk membentuk kerajaan negeri.

“Pada hemat kami, sebarang usaha atau strategi untuk mengembalikan mandat rakyat dan membentuk kerajaan haruslah dalam makluman dan persetujuan bersama Majlis Pimpinan Pakatan Harapan Johor,” tegas Chin Tong.


Semalam Aminolhuda berkata, Pakatan Harapan (PH) Johor sedia menjalinkan hubungan dengan UMNO bagi mewujudkan kerajaan negeri sekiranya parti itu memutuskan untuk menarik diri daripada Perikatan Nasional (PN).

Menurutnya, PH Johor bersedia menerima ADUN khususnya yang pernah bersama PH ketika Pilihan Raya Raya Umum Ke-14 (PRU-14) mahupun mana-mana ADUN UMNO untuk kembali memegang tampuk kepimpinan kerajaan negeri.

“UMNO Johor kini mempunyai 14 Ahli ADUN dan jika mereka memutuskan untuk tidak menyokong PN lagi, maka kedudukan PN dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor goyah berikutan mereka mempunyai kelebihan dua wakil rakyat iaitu 29 berbanding PH Johor, 27 ADUN.

“Namun UMNO Johor perlulah ikhlas dan jangan mengharap habuan dan sebagainya, kerana kami di PH adalah sebuah parti yang telus dalam menjaga kepentingan dan kestabilan negeri.

“Jika UMNO membuat keputusan keluar PN, kita sama-sama perlu kembalikan mandat rakyat sewaktu pilihan raya lalu dengan menitikberatkan soal kebajikan dan hak rakyat, bukannya merebut-rebut mengejar jawatan,” kata Pengerusi Amanah Johor itu seperti yang dilaporkan oleh sebuah portal berita.

Beliau mengulas kenyataan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, bahawa parti itu membuat pertimbangan untuk menarik diri daripada menyokong gabungan politik PN.

Keputusan UMNO itu jika berlaku, bakal memberi kesan kepada kedudukan kerajaan Johor berikutan 14 daripada 29 Ahli ADUN PN adalah daripada UMNO manakala 14 lagi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), MIC (dua) dan PAS (satu).

PH pula mempunyai 27 kerusi DUN membabitkan 14 kerusi daripada DAP, Parti Amanah Negara (AMANAH) (sembilan) dan PKR (empat).-SM

(Visited 51 times, 1 visits today)

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button