Nasional

Polis rampas dadah bernilai RM22.46 juta di Pulau Pinang

POLIS Pulau Pinang menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah ekoran kejayaan merampas syabu seberat 623.76 kilogram (kg) bernilai RM22.46 juta di Jalan kebun Nenas, Bukit Mertajam, Khamis lalu.

Ia susulan penahanan lima lelaki berusia 23 hingga 51 tahun ketika anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) mengesan sebuah lori yang di letakkan dalam keadaan mencurigakan pada pukul 2 pagi Khamis lalu.

Kemudiannya ia diikuti pula dengan serbuan di sekitar Kulai dan Seri Alam, Johor serta di Sungai Buloh, Selangor.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Razarudin Husain, bekalan dadah itu disembunyikan dalam ruang khas sebuah lori tiga tan dan dipercayai di bawa dari Kelantan.

Katanya, ketika rondaan anggota URB ternampak tiga suspek warga Indonesia sedang memunggah dadah itu dari lori ke dalam kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Honda BRV.

Menurut beliau, tiga suspek itu bertindak melarikan diri apabila menyedari kehadiran anggota polis,  bagaimanapun seorang daripadanya berusia 23 tahun berjaya ditahan.

“Pemeriksaan pada lori itu menemui 495 bungkusan dadah disyaki syabu dianggarkan seberat 511.95kg bernilai RM18.4 juta.

“Sejumlah 101 lagi bungkusan dadah seberat 106.915kg yang disembunyikan di bawah pantai lantai lori terbabit turut ditemui,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang hari ini.

Hasil siasatan ke atas suspek katanya, polis menyerbu sebuah kondominium di Bukit Mertajam dan menemui lima lagi bungkusan dadah seberat 4.895kg.

“Susulan penemuan itu, polis menahan empat suspek berusia antara 27 hingga 51 tahun yang ditahan di sekitar Kulai dan Seri Alam, Johor serta di Sungai Buloh, Selangor, bagi membantu siasatan.

“Ujian saringan air kencing ke atas semua suspek didapati negatif dadah dan seorang daripada mereka mempunyai rekod jenayah lalu di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan,” katanya.

Dadah itu katanya, jika dipasarkan boleh digunakan oleh seramai 3.1 juta penagih.

Katanya, dua lagi suspek warga Indonesia yang melarikan diri dikenali sebagai Zulfikar, 32, dari Taman Pelangi, Perai dan Hafis Farezza, 21, dari Jalan Juru Sentral, Bukit Mertajam.

 

(Visited 480 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button