MahkamahNasionalNegeri

Pelajar didakwa lakukan amang seksual terhadap kanak-kanak 11 tahun

SEORANG pelajar tahun akhir sebuah kolej mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka  hari ini atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan, bulan lalu.

Tertuduh, Muhammad Adib Hishammuddin, 20, membuat pengakuan tersebut selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Darmafikri Abu Adam.

Mengikut pertuduhan, dia yang sedang mengikuti jurusan elektrik didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun di Taman 1 Bukit Beruang antara pukul 4.00 petang hingga 9.00 malam pada 14 November lalu.

Difahamkan tertuduh yang mengikuti latihan di institut kemahiran di Perak itu mengenali mangsa melalui media sosial sejak beberapa bulan lalu.

Muhammad Adib turut berdepan satu lagi pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak yang sama di tandas awam dan bilik persalinan perempuan bersebelahan Kompleks Tenis, Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya pada pukul 12.00 tengahari, 20 November lalu.

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual terhadap kanak-kanak 2017 yang boleh dipenjara 20 tahun dan sebatan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwaraya, N. Sivashangari menawarkan jaminan RM10,000 kerana kesalahan berat dilakukan tertuduh terhadap kanak-kanak yang baharu berusia 11 tahun.

Tertuduh yang diwakili Peguam Andrew Lourdes dalam rayuannya bagaimana pun memohon jaminan  dikurangkan kerana anak guamnya masih belajar dan tidak mempunyai sumber pendapatan tetap.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin selain diarah tidak mengganggu mangsa dalam apa juga keadaan sehingga kes selesai.

Hakim Darmafikri kemudiannya menetapkan 11 Januari depan untuk tarikh sebutan semula kes tersebut. – SM

(Visited 177 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button