Nasionalpilihan

Polis akan panggil wanita tak mahu pakai pelitup muka depan butik Dior

POLIS akan memanggil wanita warga asing yang tular di media sosial kerana enggan memakai pelitup muka di hadapan butik Dior di Bangsar.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, pihaknya mengesan video tular berkenaan pada 11.30 malam semalam.

“Klip video tersebut memaparkan seorang wanita dipercayai warganegara asing berusia 51 tahun yang telah ditahan oleh pengawal keselamatan sebuah pusat membeli-belah di kawasan Bangsar kerana tidak memakai pelitup muka ketika cuba masuk ke dalam pusat membeli-belah berkenaan.

“Hasil penelitian ke atas video tular yang dimuat naik ini mendapati berlaku pelanggaran Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 21a Akta 342 dan Peraturan 17(1) PPPDPPB 2021 kerana melanggar SOP yang ditetapkan oleh kerajaan,” katanya.


Dalam pada itu, Amihizam menasihatkan orang awam untuk tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan video tular ini bimbang mendatangkan kegusaran awam.

Jelasnya, sebarang perlanggaran Prosedur Operasi Standard (SOP) di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 boleh dikenakan tindakan undang-undang.

“Saksi awam yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini diminta hadir ke Balai Polis berdekatan untuk memberi keterangan. Maklumat lain berkaitan jenayah boleh disalurkan kepada Hotline Polis Brickfields di talian 03-2297 9222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana Balai Polis yang berdekatan,” jelasnya.

Terdahulu, sebuah video yang memaparkan wanita berkenaan meroyan kerana dilarang daripada memasuki sebuah butik tular dek kerana tidak memakai pelitup muka.

“You can’t stop me, it a free country, do you know me shocked (awak tidak boleh hentikan saya, ini negara bebas, awak tahu saya terkejut),” katanya wanita itu di dalam video tular tersebut.

Rata-rata netizen juga meninggalkan komen berbaur kecaman dan kritikan terhadap sikap wanita tersebut yang tidak patuh pada undang-undang yang ditetapkan. -SM

(Visited 86 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button