MahkamahNasional

Long Tiger merengkok setahun dalam penjara

MAHKAMAH Majistret Tangkak hari ini menjatuhkan hukuman 12 bulan penjara ke atas Long Tiger, lelaki berketurunan Rohingya selepas dia mengaku bersalah melarikan diri daripada tahanan polis pada 15 Disember 2021 lalu.

Tertuduh yang nama sebenarnya, Abdul Hamim Ab Hamid, 33, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret, Zaridah Y Abdul Jaapar.

Dalam pendakwaan terhadap Long Tiger, Majistret Zaridah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara dari tarikh dia ditangkap iaitu pada 28 Disember 2021 di Penjara Kluang, Johor.

Memetik laporan Sinar Harian, mengikut pertuduhan, Abdul Hamim didakwa dengan sengaja melarikan diri daripada jagaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang mana tertuduh telah ditahan secara sah di sisi undang-undang atas kesalahan di bawah Seksyen 388 Kanun Keseksaan.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Mahkamah Majistret Tangkak pada kira-kira pukul 11.55 pagi, 15 Disember 2021.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 224 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun, atau denda atau keduanya sekali.

Mengikut fakta kes, tertuduh didakwa melarikan diri daripada lokap mahkamah dengan menggunakan alasan membuang air besar dan telah meminta anggota polis yang ditugaskan untuk membuka gari.

Tertuduh kemudiannya mengambil kesempatan untuk lolos daripada tahanan ketika melihat pintu sel tidak berkunci dan bertindak melarikan diri keluar dengan menghala ke pintu utama mahkamah.

Ketika melarikan diri, tertuduh telah dikejar beberapa anggota polis namun berjaya lolos dengan bersembunyi di kawasan semak-samun berhampiran mahkamah sebelum berjaya melarikan diri ke Sungai Petani, Kedah.

Dalam prosiding yang sama, mahkamah turut menetapkan tarikh 14 dan 16 Februari depan bagi bicara empat kes melibatkan Abdul Hamim iaitu mengikut Seksyen 388, 342 dan 506 Kanun Keseksaan di Mahkamah Majistret Tangkak.

Pendakwaan dikendalikan, Pengarah Pejabat Timbalan Pendakwa Raya Johor, Tengku Amir Zaki Tengku Abdul Rahman dan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Qaiyum Rahman.

Sementara tertuduh diwakili peguam, Datin Freda Josephine Gonzales dan Muhammad Hariz Md Yusoff. – SM

(Visited 445 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button