Nasionalpilihan

PM lancar Malaysia Digital, ganti MSC

PERDANA MENTERI Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam tengah mengumumkan Malaysia Digital atau MD sebagai inisiatif baharu menggantikan Koridor Raya Multimedia (MSC).

MSC, yang ditubuhkan sejak 1996 telah berjaya mentransformasi dan mempelbagaikan ekonomi negara daripada berasaskan pertanian, komoditi dan industri kepada ekonomi berasaskan pengetahuan dan teknologi komunikasi maklumat (ICT).

Berikutan itu, kata Ismail Sabri, bagi terus memacu ekonomi digital negara, inisiatif tersebut perlu diberikan nafas baharu bagi memastikannya terus relevan.

“Bagi merancakkan ekonomi digital negara, rangka kerja inisiatif baharu yang dikenali sebagai Malaysia Digital atau MD telah dibangunkan dengan berpandukan kepada tiga prinsip utama iaitu Fleksibiliti, Ketangkasan dan Relevansi,” kata Perdana Menteri.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya ketika merasmikan Majlis Pelancaran Malaysia Digital dan Sambutan Jubli Perak MDEC di Putrajaya, semalam. Turut hadir, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa.

MD menerusi projek mangkin MD atau PEMANGKIN akan berfungsi secara holistik dalam mentransformasikan ekosistem ekonomi digital negara menerusi tiga keutamaan strategik iaitu:

1) Membantu memacu adaptasi digital dalam kalangan usahawan muda, syarikat dan rakyat,

2) Menyokong syarikat teknologi tempatan untuk menjadi ‘Juara Malaysia’ berjaya di peringkat antarabangsa, dan

3) Menarik pelaburan bernilai tinggi.

“Kerajaan melalu K-KOMM (Kementerian Komunikasi dan Multimedia) dan MDEC telah memperkenalkan pelbagai program dan inisiatif dengan objektif menyebarkan manfaat ekonomi digital kepada seluruh Keluarga Malaysia.

“(Hasilnya) Ekonomi digital Malaysia telah mencapai 22.6 peratus kepada KDNK (Keluaran Dalam Negeri Kasar) pada tahun lalu dan ia dijangka berkembang melepasi sasaran awal sebanyak 25.5 peratus menjelang 2025,” kata Ismail Sabri lagi.

Artikel berkaitan > Inisiatif baharu perkhidmatan jalur lebar bakal diumum tidak lama lagi – Annuar Musa

 

(Visited 288 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button