Nasional

Peluang masyarakat bantu vaksinasi Covid-19

Kementerian Wilayah Persekutuan telah menubuhkan badan sukarela bagi menguruskan kegiatan kesukarelawan di Wilayah Persekutuan dalam melaksanakan program Vaksinasi Bergerak Covid-19 dan saringan massa.

Menterinya, Tan Sri Annuar Musa berkata, salah satu daripada sembilan aspek yang diberikan penekanan oleh Covid-19 Coordination and Management Center Wilayah Persekutuan (CCMC-WP) adalah mengenai keperluan bagi menyelaras aktiviti – aktiviti kesukarelawanan dan penyampaian bantuan kepada mereka yang terjejas. Melalui penyelarasan ini, diharapkan ia dapat membantu menyelesaikan masalah pertindihan penyampaian bantuan, ketirisan, pembaziran, kerugian sumber dan kekurangan tenaga kerja selain membantu memastikan pengurusan program berjalan lancar.

Bagi melaksanakan peranan ini, katanya sebuah badan yang dinamakan sebagai Sukarelawan Wilayah Prihatin atau Prihatin Volunteer (PriVo) telah dibentuk di bawah Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP). PriVo akan bertanggung jawab sebagai Pusat Koordinasi Gerakan Sukarelawan (Coordination Centre) untuk menyelaras semua kegiatan kesukarelawanan di Wilayah Persekutuan seperti pengurusan program Vaksinasi Bergerak Covid-19, Saringan Massa Covid-19 RTK-Ag, program sanitasi di premis-premis awam, pengurusan gelandangan, pengumpulan dan pengagihan bantuan (food bank) dan pelbagai program kesukarelawanan yang dilaksanakan di Wilayah Persekutuan secara berperingkat-peringkat.

“Pentadbiran PriVo dikendalikan oleh YWP dan wakil Badan-Badan Bukan Kerajaan (NGO’s). Ia digerakkan dengan kerjasama agensi-agensi kerajaan seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Angkatan Pertahanan Malaysia (APM), Jabatan Kesihatan Negeri (JKN), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), RELA, PDRM, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) serta jabatan dan agensi lain di Wilayah Persekutuan.

“Di peringkat awal ini, tumpuan diberikan kepada program yang berkaitan usaha memerangi Covid19, iaitu Program Vaksinasi Bergerak, Saringan Massa RTK-Ag, sanitasi premis awam, bantuan kepada gelandangan dan penyampaian bantuan makanan kepada golongan yang terkesan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Sekatan Pergerakan (lockdown),” katanya dalam kenyataan media hari ini.


Katanya, bagi membantu pelaksanaan dan kelancaran program-program tersebut, PriVo meletakkan sasaran untuk mendaftarkan sekurang-kurangnya 1,000 orang sukarelawan baik yang mewakili sebarang badan kesukarelawanan ataupun dalam kalangan individu yang berminat untuk terlibat dalam program-program ini.

PriVo telah mula digerakkan bagi membantu penyelarasan dan penglibatan sukarelawan bagi program rintis saringan RTK-Ag Covid-19 di PA Sri Sabah, PA Sri Pulau Pinang dan PA Sri Kota serta program rintis Vaksinasi Bergerak Covid-19 di PPR Kampung Muhibbah. Seramai 600 orang sukarelawan PriVo juga akan digerakkan utk membantu program vaksinasi bergerak di empat kawasan parlimen di WP Kuala Lumpur pada 11 – 13 Jun ini dan lebih ramai sukarelawan diperlukan untuk membantu program vaksinasi bergerak pada fasa seterusnya.

Sehubungan dengan itu, KWP amat mengalu-alukan penyertaan seramai mungkin warga Wilayah Persekutuan dan NGO-NGO yang berminat untuk mendaftar diri sebagai sukarelawan PriVo. Penyertaan terbuka kepada semua warga Wilayah Persekutuan yang berusia 18 tahun ke atas, NGO-NGO, syarikat swasta, Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC), agensi kerajaan dan institusi pendidikan. Pendaftaran PriVo boleh dibuat secara atas talian
di pautan https://bit.ly/3pr77mA dan imbasan QR Code yang disediakan oleh YWP.

Pada masa hadapan, peranan PriVo akan diperluaskan lagi meliputi bidang-bidang kesukarelawanan yang lain seperti kesihatan, pendidikan, sukan, kebajikan masyarakat, perumahan rakyat, kemiskinan bandar, kerjaya, alam sekitar dan kesenian.

YWP akan mengeluarkan maklumat lanjut mengenai PriVo dalam masa terdekat. Bagi mereka yang berminat untuk mendapatkannya boleh menghubungi YWP melalui talian Helpline 011-7110 7899.

(Visited 26 times, 1 visits today)

Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button