NasionalPolitik

Anwar tipu, PH celaru

KETUA Penerangan BERSATU,  Datuk Wan Saiful Wan Jan menegur Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana masih tidak serik bermain politik dan menasihati Presiden PKR itu untuk memberi fokus kepada masalah yang dihadapi rakyat pada masa kini. 

 “Semalam Datuk Seri Anwar diberi perkenan berjumpa dengan YDP Agong di Istana Negara. Anwar harus sedar bahawa keputusan meletakkan negara di bawah Ordinan Darurat ini bukan sesuatu yang diambil mudah oleh kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Perintah ini terpaksa dibuat bagi memastikan negara boleh memberi tumpuan kepada usaha memerangi Covid-19, dan memulihkan ekonomi negara,” katanya.  

Beliau berkata, Anwar  perlu sedar bahawa YDP Agong, dengan kebijaksanaan baginda telah pun memperhalusi cadangan dan nasihat yang diberikan oleh Perdana Menteri serta mengambil kira pandangan pelbagai pihak sebelum bersetuju dengan keputusan kerajaan melaksanakan perintah Darurat itu. 

Di samping itu, katannya, Anwar juga kini kelihatan sudah sedar bahawa beliau tidak pernah mempunyai cukup sokongan untuk membentuk kerajaan, walaupun sering membohongi rakyat dengan dakwaan beliau ‘cukup nombor’. 


“Apabila Anwar cakap tiada perbincangan mengenai pertukaran pentadbiran kerajaan sewaktu jumpa Agong, adakah ini menunjukkan Anwar sedar selama ini dia hanya mereka-reka cerita sahaja? Sudah tiadakah ‘formidable numbers’ yang diuar-uarkan sebelum ini?”  soal Wan Saiful. 

Menurutnya, Anwar dan kepemimpinan PKR perlu lebih jujur dan berpendirian tetap terhadap YDP Agong dan institusi raja. 

“YDP Agong telah berkenan mencemar duli berjumpa dan mendengar pandangan  Anwar, tetapi lain pula sikap beliau ketika ada ahli-ahli PKR yang mengeluarkan kenyataan-kenyataan biadap terhadap baginda kebelakangan ini. 

“Contohnya kes video ahli PKR Iswardy Morni yang terang-terangan menghina Agong. Walaupun PKR berkata pendapat Iswardy tidak mewakili pendirian parti, tetapi Anwar sendiri tidak bersuara mempertahankan Agong dan institusi raja-raja Melayu. 

 “Baru-baru ini pula keluar cadangan daripada gerakan Agenda Reset Malaysia supaya YDP Agong berehat selama 6 bulan dan menyerahkan tugas kepada Timbalan YDP Agong, tetapi Anwar seperti biasa diam sahaja apabila YDP Agong diserang. Ini seolah-olah menunjukkan yang Anwar bersetuju dengan penghinaan kepada Raja-Raja kita,” katanya. 

 Wan Saiful seterusnya menasihati Anwar supaya menghentikan polemik dan sebaliknya menyokong usaha kerajaan membasmi wabak Covid-19 serta membantu memulihkan keadaan ekonomi dan kesihatan rakyat.  

 “Lebih baik bersama menyokong usaha kerajaan memastikan semua pihak mematuhi SOP dan mendaftar untuk mendapatkan vaksin.  

 “Sudah-sudahlah dengan permainan politik nak jadi PM, kerana rakyat semakin bijak menilai permainan beliau dan PH yang ternyata makin bercelaru naratif perjuangannya,” katanya. 

(Visited 430 times, 1 visits today)

Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button