PRK

PH masih berbincang dengan Tun M calon PRK Slim

Pakatan Harapan (PH) masih berbincang dengan kumpulan penyokong Tun Dr. Mahathir Mohamad mengenai calon pembangkang bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim di Perak.

Menurut Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata, adalah sesuatu yang mengelirukan untuk mengatakan PH telah menyerahkan kepada kumpulan Dr Mahathir untuk meletakkan calon pada PRK tersebut.

Jelas Presiden PKR itu, gabungan pembangkang akan mengumumkan calon mereka pada Selasa depan.

“Adalah agak mengelirukan untuk mengatakan kita (PH) telah menyerahkan kepada mereka (kumpulan Dr Mahathir untuk bertanding). Tidak … rundingan masih berjalan.

“Semasa PRK Chini (di Pahang), kami bimbang tentang COVID-19 dan skop kempen yang agak terhad, sebab itu kami putuskan untuk tidak bertanding, namun kami telah kaji semula keputusan itu,” kata Anwar hari ini.

Anwar  menegaskan PH ada hantar wakil untuk berbincang dengan pasukan Dr. Mahathir untuk berbincang mengenai calon yang bakal diletakkan pembangkang bagi PRK tersebut.

Semalam bekas Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Marzuki Yahya berkata, pihaknya akan meletakkan calon untuk menentang calon Perikatan Nasional (PN).

Sebuah portal berita melaporkan, keputusan tersebut dibuat selepas seorang ahli Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) menyatakan bahawa tidak akan bertanding pada PRK tersebut.

“Kami Bersatu Blackout akan bertanding DUN Slim. Ini kerana seorang ahli Majlis Presiden PH menerusi pesanan ringkas kepada saya berkata, bahawa PH tidak akan bertanding. Mereka tarik diri.

“Kami tidak akan bertanding menggunakan logo PH. Sama ada kami guna lambang baru atau lambang yang diberikan oleh SPR,” katanya.

Kerusi DUN Slim kosong selepas penyandangnya Datuk Khusairi Abdul Talib daripada BN meninggal dunia akibat serangan jantung pada 15 Julai lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) semalam menetapkan 29 Ogos ini sebagai tarikh PRK DUN Slim, Perak.

Pada PRU ke-14, lalu Khusairi memenangi kerusi DUN Slim dengan menewaskan calon Bersatu, Mohd Amran Ibrahim dan Muhammad Zulfadli Zainal dari PAS.

Allahyarham memperoleh 8,327 undi dengan majoriti 2,183 undi.

(Visited 238 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button