Uncategorized

Petugas kesihatan divaksin, dijangkiti Covid tidak alami gejala teruk

Seramai 2,341 petugas kesihatan dijangkiti Covid-19 selepas menerima vaksin tidak mengalami gejala teruk.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, 778 orang dalam kategori satu, 1,559 dalam kategori dua, dua orang masing-masing dalam kategori tiga dan empat dan belum ada bagi kategori lima.

“Kebaikan vaksin adalah mereka tidak sampai ke kategori lima dan dapat mengurangkan kematian atau keparahan. Vaksin melindungi petugas dijangkiti teruk,” katanya dalam laporan yang ditulis Bernama.

Seramai 9,392 petugas kesihatan dijangkiti COVID-19 sejak pandemik melanda negara dengan jururawat yang paling terkesan iaitu 3,411 orang dan pegawai perubatan seramai 1,229 orang, katanya.

Sementara itu, seramai 509 pengamal perubatan am (GP) swasta telah diberikan surat kuasa untuk mengeluarkan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO).


Dr Adham berkata, HSO itu akan dikeluarkan kepada pesakit positif yang akan dirawat di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) yang diuruskan pusat perubatan swasta atau di rumah masing-masing.

“Seramai 509 GP telah diberikan surat kuasa untuk menyerahkan gelang HSO bagi pesakit yang dikesan positif untuk dirawat di PKRC mereka atau dihantar ke rumah serta dipantau,” katanya.

Dr Adham berkata demikian dalam sidang media khas berhubung langkah kesiapsiagaan dan strategi Kementerian Kesihatan (KKM) mengurus pandemik COVID-19 di Lembah Klang, di sini hari ini.

Beliau berkata KKM menerima permohonan dari semasa ke semasa mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

“Kerjasama antara GP dan pusat perubatan swasta telah bertambah untuk membantu KKM,” katanya menambah KKM sedang bekerjasama dengan pengamal perubatan swasta dan majikan untuk menubuhkan Pusat Penilaian COVID-19 dan PKRC yang dikendalikan sendiri.

Sementara itu, Ketua Setiausaha KKM Datuk Mohd Shafiq Abdullah berkata isu permohonan dana dari pihak swasta tidak timbul kerana dana yang diberikan kementerian mencukupi untuk pengurusan COVID-19.

Sebanyak RM1 bilion telah dibelanjakan untuk memenuhi keperluan semasa dan KKM kini sedang berbincang dengan Kementerian Kewangan bagi pertambahan RM1 bilion untuk keperluan kesiapsiagaan sehingga Disember ini sekiranya kes bertambah.-SM

(Visited 61 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button