NasionalUncategorized

Raja Muda Perlis berangkat menyaksikan Dondang Sayang Soireé

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil malam semalam berkenan berangkat menghadiri Dondang Sayang Soireé sempena Penang Exchange 2022 yang diadakan di Pinang Peranakan Mansion,  di sini.

Keberangkatan tetamu diraja disambut oleh Presiden Pertubuhan Kraf Malaysia yang juga dikenali sebagai Malaysia Craft Council (MCC), Nik Faiz Nik M. Amin dan Pengarah Tourism Malaysia (Wilayah Utara), Shahrul Amal Sabil Ahmad.

Berangkat sama ialah anakanda-anakanda baginda berdua, Sharifah Khatreena Nuraniah dan Sharifah Farah Adriana.

Pada majlis itu Raja Puan Muda turut berkenan menganugerah kepada tujuh orang penggiat kraf hebat di Pulau Pinang trofi dan sijil sebagai menghargai sumbangan mereka.

Mereka adalah Haja Mohidien Mohd Sharif (Songkok), Tong Poh Keng @ Mdm Lilian Tong (Kasut Manik), Anuar Sha’ari (Replika Feri), Dr. Shamsu Mohamad (Pasu Hiasan dan Bekas Lilin), Khairiyah Ghazali (Kebaya Nyonya dan Sarung Bantal), Lee Tiek Chye (Ukiran Papan Tanda Tradisional) dan Che Mat Jusoh (Pembuat/Pemain Alat Muzik).

Para jemputan wanita hadir mengenakan pakaian tradisional peranakan dengan majlis dimulakan dengan persembahan pembukaan berupa ‘Tarian Dondang Sayang’.

Para tetamu dihiburkan dengan persembahan oleh selebriti Arja Lee dan Farhan Azizan serta pengacara dan pelawak popular kelahiran Perlis iaitu ‘Dee’.

Penampilan ‘Fashion Show’ Istimewa “Koleksi Khatreena” oleh Sharifah Khatreena Nuraniah di Kuala Lumpur Fashion Week (KLFW) 2022 baru-baru ini turut diperagakan di majlis tersebut.

MCC selaku penganjur program ini buat julung kalinya melebarkan sayap dengan menganjurkan program Penang Exchange 2022 dengan lebih berskala besar dan mensasarkan golongan artisan yang terkesan dari pandemik global Covid-19.

Menurut Nik Faiz, sambutan yang diperolehi di Kelantan sejak dua tahun yang lalu melalui ‘Kelantan Exchange 2020 & 2021 telah meyakinkan pihaknya untuk menjadikan program ini sebagai satu produk tahunan eksklusif dari MCC yang mengetengahkan para artisan untuk terus berkarya dan mempromosikan hasil kraf serta seni kebudayaan ke peringkat antarabangsa dengan pakej yang lebih inklusif’.

Beliau berharap konsep itu dapat memberi nafas baru dan sokongan padu kepada golongan artisan untuk terus memperkasa, memelihara dan mengetengahkan khazanah seni, kraf dan budaya negara. – SM

(Visited 160 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button