Nasionalpilihan

Pesawah Melaka mula guna varieti M297 November ini

Pesawah di Melaka akan menggunakan penanaman varieti benih baharu padi MR297 yang mampu mengeluarkan hasil tiga kali ganda serta tahan tanpa bekalan air bermula November ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Melaka, Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, penanaman varieti M297 sekali gus memastikan pengeluaran beras di Melaka dapat dipertingkatkan
untuk jangka masa panjang.

Menurutnya, benih baharu itu dijangka digunakan oleh pesawah di negeri ini di kawasan seluas 1,385 hektar yang telah dikenal pasti.

Beliau berkata, benih itu sudah terbukti mampu menghasilkan padi tiga kali ganda daripada benih biasa yang sudah digunakan oleh pesawah sejak 10 tahun lalu.

Tambahnya, kebiasaannya bagi kawasan satu hektar dapat menghasilkan empat tan padi bagaimanapun melalui benih baharu pesawah dijangkakan mampu memperoleh antara enam atau lapan tan bagi satu hektar.

“Kita dalam progres yang sangat baik dan kita jangkakan seawal tahun depan Melaka akan menjadi negeri pertama mengeluarkan benih sendiri.

“Kita kini dalam proses kerja-kerja merombak dan meratakan tanah serta pembinaan saliran yang akan dilaksanakan dalam tempoh tiga atau enam bulan ini.

“Justeru kita mensasarkan akan mula tanam benih varieti M297 bermula November ini dan hasilnya boleh dituai antara Januari atau Februari tahun depan,” ujarnya kepada pemberita selepas menghadiri Program Simpulan Kasih Ramadan di sebuah hotel di Jalan Hang Tuah di sini
semalam.

Pada program itu seramai 132 anak yatim, golongan kurang bernasib baik dan asnaf diraikan serta diberikan sumbangan terdiri daripada penerima Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong, DUN Merlimau dan Parlimen Tangga Batu.

Mengulas lanjut Muhamad Akmal berkata, benih varieti baharu itu akan dijual kepada pekilang dan pesawah di negeri ini terlebih dahulu dan bakinya baru dijual kepada pihak luar.

Menurutnya, selepas ini tidak timbul lagi isu kekurangan benih padi yang sering dihadapi pesawah kerana dapat diatasi dengan penanaman benih MR297.

Beliau berkata, benih varieti berkenaan telah mula ditanam di kawasan seluas 46 hektar di ladang sawah tengah padang di Merlimau dekat sini sebagai ladang benih padi Melaka diusahakan antara 20 hingga 25 pesawah.

“Kelebihan benih ini ia mampu bertahan jika berlaku kekurangan bekalan air yang sering terjadi bila berlaku musim kemarau,” ujarnya.

Katanya, pesawah di negeri ini perlu menggunakan varieti baharu yang mampu meningkatkan hasil berbanding benih lama yang telah digunakan sejak 10 tahun lalu.- SM

(Visited 22 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button