Politik

MCA tidak akan korban prinsip perjuangan – Lian Ker

MCA tidak akan mengorbankan prinsip perjuangannya sebagai sebuah parti nasionalis berpaksikan perlembagaan negara.

Naib Presiden MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker berkata, parti itu tidak perlu mengubah prinsipnya seperti DAP sebagai parti ekstreme dan cauvinis untuk mendapat sokongan.

“MCA selama berada dalam keluarga BN terus mengamalkan politik kesederhanaan dan menghormati kepelbagaian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu beliau melabelkan Ketua Pengarah Komunikasi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam sebagai jurucakap kepada DAP susulan kenyataan Lokman sebelum ini yang menyifatkan MIC dan MCA sebagai ‘biawak hidup’ dalam komponen BN.

Lian Ker berkata, daripada ‘No DAP’, Lokman kini sudah dilihat sebagai pembela parti itu.

“Apa-apa pun, tahniah DAP, siapakah ‘pengkhianat’ sebenarnya?

“Bertaubatlah dan janganlah mengaibkan lebih-lebih lagi rakan seperjuangan,” katanya.

Semalam, Lokman menerusi wawancara dengan MalaysiaGazette berkata MCA dan MIC umpama ‘biawak hidup’ yang dipikul UMNO sedangkan mereka tidak mampu meraih sokongan Cina dan Melayu untuk menyokong Barisan Nasional (BN).

Tambah Lian Ker, Lokman tidak perlu meraih populariti diri yang semakin luntur dengan menyerang parti-parti komponen BN.

“Adakah Lokman mahu MCA menjadi parti ekstremis dan cauvinis demi meraih undi, sehingga mengorbankan keharmonian masyarakat majmuk di Malaysia?” soalnya.

Lian Ker turut menyindir Lokman hanya pandai mengata orang lain sedangkan kekalahan sebenar BN adalah disebabkan beberapa faktor antaranya mula kehilangan sokongan masyarakat Cina dan India.

“BN yang lebih cenderung kepada semangat kebangsaan berasaskan perlembagaan dan ciri-ciri kemelayuan telah ditentang hebat oleh DAP dan ia membawa kepada ‘Deklarasi Setapak’.

“Deklarasi Setapak memperkukuh pandangan DAP bahawa dalam proses membina negara, kesamarataan etnik harus menjadi prinsip paling penting dan di atas prinsip inilah pengasingan rakyat ke dalam dua kelompok ‘bumiputera’ dan ‘bukan bumiputera’ ditentang,” ujarnya.

Menurut Lian Ker, DAP mula meraihkan sokongan pelbagai kaum atas naratif politik kesamarataan dan penghapusan bumiputera.

“Inilah hakikat serta pengorbanan politik yang diterima oleh BN atas semangat ‘collective responsibility’,” jelasnya.

(Visited 397 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button