Nasional

Persiapan Tahun Baharu Cina terencat air tiada

PERAYAAN Tahun Baharu Cina (TBC) tinggal beberapa hari lagi dan pastinya kaum Tionghua sibuk mengadakan persiapan terakhir.

Bagaimanapun apabila berlaku ketiadaan bekalan air, pastinya ia merencatkan kerja-kerja ini.

Inilah dilema yang dihadapi oleh 13 keluarga di Kampung Gelam Teluk Epa, Arau, Perlis yang kebanyakannya berbangsa Tionghua.

Sehubungan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Indera Kayangan, Gay Ay Ling yang bersimpati dengan penduduk di sini turun padang untuk melihat keadaan sebenar.

Ay Ling berkata, beliau menerima aduan daripada penduduk terbabit pada 23 Januari lalu.

Katanya, beliau telah menghubungi Syarikat Air Perlis (SAP) selepas aduan diterima tetapi sehingga 25 Januari lalu, masih belum ada sebarang tindakan.

Sekali lagi, Ay Ling menghubungi
SAP pada tarikh berkenaan tetapi dimaklumkan ia sedang diuruskan.

Bagaimanapun katanya, sehingga malam 27 Januari lalu, bekalan air masih tidak diselesaikan.

Ay Ling berkata, oleh kerana tidak pasti punca ketiadaan air yang mungkin berkaitan teknikal maka beliau akan menulis surat kepada SAP supaya dapat mengatasi masalah ini sebelum TBC.

Sementara itu, antara penduduk yang ditemui, Wong Ping Kang, 62, berkata, beliau terpaksa mengambil air di rumah saudaranya yang letak agak jauh iaitu di Taman Kemajuan.

“Saya juga kena beli tangki air 800 liter untuk menampung keperluan selama dua hari,” katanya yang tinggal bersama tujuh ahli keluarga dalam sebuah rumah.

Seorang peniaga makanan, Thye Me Ling, 37, berharap SAP segera menyelesaikan isu air kerana restorannya pula mendapat tempahan untuk makan besar. –
SM

(Visited 160 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button