Nasional

Orang Kedah sudah boleh solat Jumaat, berjemaah

MULAI Jumaat ini rakyat Kedah dibenarkan menunaikan solat fardhu berjemaah termasuk sembahyang Jumaat.

Perkara itu sudah diperkenankan oleh Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah.

Namun bilangan minimum jemaah adalah sekurang-kurangnya 40 orang dan maksimum 60 orang, sementara solat fardu pula dibenar didirikan dengan maksimum 40 jemaah.

Memetik laporan Bernama, Mufti Kedah Datuk Syeikh Fadzil Awang menjelaskan, bilangan maksimum jemaah itu tertakluk kepada keluasan masjid atau surau.

Selain itu katanya, ia juga tertakluk kepada kemampuan jawatankuasa kariah dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara, Kementerian Kesihatan dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK).

“Bagi mereka yang tidak dapat menunaikan solat Jumaat hendaklah digantikan dengan solat zuhur dan dilakukan di tempat masing-masing. Solat fardu secara berjemaah juga dibenarkan di semua masjid dan surau mengikut keluasan dan kita juga minta jawatankuasa kariah untuk menyediakan ruangan solat kepada orang yang bermusafir.

“Bagi aktiviti pengimarahan masjid dan surau pula, laungan lafaz azan yang digunakan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKP Bersyarat (PKPB) sebelum ini akan dikembalikan kepada lafaz azan yang asal dan pengajian al-Quran dan kuliah dibenarkan selepas solat subuh dan maghrib, namun tidak melebihi 30 minit,” katanya pada sidang media di Wisma Darul Aman Alor Setar, hari ini.

Syeikh Fadzil berkata, sembahyang sunat Aidiladha dan ibadah korban juga dibenarkan namun jumlah kehadiran peserta pada satu-satu masa tertakluk kepada kesesuaian kawasan dan tempat dengan mengelakkan elemen sesak, sempit dan sembang dekat (3S).

“Agihan daging korban kepada peserta dan fakir miskin akan dilakukan dengan mengamalkan penjarakan sosial sementara majlis jamuan dan kenduri adalah tidak dibenarkan,” katanya.

Sementara itu dalam sidang media sama, Pengarah JHEAIK Mohd Yusri Md Daud berkata jumlah maksimum 60 jemaah yang dibenarkan menunaikan solat Jumaat itu adalah untuk masjid kariah, institusi dan surau, manakala masjid negeri jumlah maksimum jemaah yang dibenarkan adalah 80 orang termasuk ahli jawatankuasa masjid.

“Masih ada had jumlah orang yang boleh datang menunaikan solat Jumaat jadi kita minta jawatankuasa masjid buat penggiliran untuk anak-anak kariah. Siapa yang hendak datang perlu daftar dahulu, kiranya tiada jemaah yang datang begitu sahaja kerana kita mahu elak jumlah yang ramai.

“Bagi solat fardu di masjid pula, jumlah jemaah adalah seramai 40 orang termasuk kakitangan masjid manakala di surau hanya 20 orang dibenarkan untuk menunaikan solat fardu. Bagi remaja yang berusia 15 tahun ke bawah mereka juga tidak dibenarkan datang ke masjid dan surau,” katanya.

(Visited 323 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button