AgamaNasionalNegeri

Perlis galakkan solat Aidiladha di tanah lapang

RAKYAT Perlis terus digalakkan supaya sembahyang sunat Aidiladha kali ini juga dilaksanakan di kawasan tanah lapang.

Ia bukan sahaja selaras dengan Sunnah Baginda Rasulullah SAW bahkan dapat mengurangkan risiko jangkitan penyakit berbanding solat yang ditunaikan di tempat tertutup.

SUARA MERDEKA difahamkan, sejak pandemik Covid-19 melanda pada awal tahun 2020, solat hari raya Aidilfitri dan Aidiladha pada tahun 2021 dilaksana di tanah lapang. Kali ketiga pada Aidilfitri tahun ini.

Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail (kanan) bersama dengan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah demikian setelah  diperkenan oleh Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.

Bagaimanapun Baginda selaku Yang DiPertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bertitah, pemilihan tanah lapang juga  tertakluk kepada ketetapan oleh Jawatankuasa Kariah masjid masing-masing.

“Boleh juga mempertimbangkan penggunaan ruang dalam masjid sekiranya terdapat keperluan bergantung kepada ruang dan bilangan jemaah yang hadir,” titah Baginda dalam satu kenyataan.

Titah Baginda, jemaah perlu mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) dengan memakai pelitup separuh muka, boleh bersalaman tetapi tidak menyentuh muka selepas itu serta pastikan membersihkan tangan.

Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, bagi pelaksanaan ibadah korban pula, semua pihak sama ada masjid, surau (berdaftar), Jabatan atau Agensi Kerajaan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) dibenarkan untuk mengelola dan menganjurkan ibadah korban.

“Ia masih tertakluk kepada SOP keselamatan dan kesihatan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa,” titah Baginda.

Titah Baginda, pelaksanaan ibadah korban (penyembelihan haiwan korban) hanya boleh dilakukan rumah sembelihan milik kerajaan dan swasta; masjid atau surau berdaftar dan premis persendirian yang mendapat kelulusan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Perlis.

“Semua penganjur yang menguruskan ibadah korban perlu membuat semakan bagi penyediaan tempat yang sesuai untuk tujuan pelaksanaan proses penyembelihan, melapah, memotong dan mengagihkan korban,” titah Baginda.

Baginda bertitah, pelaksanaan jamuan adalah dibenarkan seperti biasa.

“Pada bulan Zulhijjah yang mulia ini juga mengingatkan kita semua mengenai semangat berkorban yang harus dihayati dan diterapkan dalam kehidupan seharian.,” titah Baginda.

Peringatan Baginda kepada seluruh rakyat yang dikasihi, supaya memperbanyakkan takbir, tahmid dan tahlil sebagai perlambangan kesyukuran atas limpah kurnia dan rahmat Allah ke atas semua.

“Di kesempatan ini, beta turut menyempurnakan titah DYMM Tuanku Raja Perlis dan DYMM Tuanku Raja Perempuan Perlis menzahirkan ucapan ‘Selamat Hari Raya Aidiladha 1443H’ dan “Taqabbalallahu minna wa minkum”. – SM

(Visited 312 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button