Nasional

Eksport pasir menyumbang kepada kerosakkan alam sekitar negara

PERSATUAN Pengguna P. Pinang (CAP) menggesa Kerajaan Persekutuan agar melarang eksport pasir dan membatalkan Permit Kelulusan (AP) untuk eksport pasir sungai berikutan kesan terhadap alam sekitar dan masyarakat.

Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, permintaan yang meningkat untuk pasir sungai dan pemberian AP untuk eksport pasir akan membuka pintu kepada lebih banyak kerosakan dan kerosakannya pula akan berpanjangan.

“Data eksport pasir dari Bahagian Statistik Bangsa-Bangsa Bersatu – Pangkalan Data Statistik Perdagangan Komoditi (COMTRADE) menunjukkan bahawa pada 2017 jumlah eksport pasir (HS 2017 kod 2505: semua jenis pasir selain pasir galas logam) dari Malaysia mencatatkan sehingga 1,879,233,138 kg dengan kira-kira 95 peratus dieksport ke Singapura.

“Pada 2018, eksport pasir dari Malaysia menyaksikan sedikit penurunan kepada 1,693,640,785 kg, dan Singapura sekali lagi pengimport terbesar dengan 94.7 peratus pasir Malaysia dihantar ke negara jiran itu. Malaysia kemudian membuat keputusan untuk melarang eksport pasir ke Singapura semasa pemerintahan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada 2018,” katanya dalam satu kenyataan di Georgetown hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan susulan laporan media bahawa Kementerian Tenaga dan Sumber Asli setakat ini telah mengeluarkan 11 AP bagi eksport pasir sungai dan dilaporkan pemegang AP dibenarkan mengeksport pasir dan logam lain ke Brunei, China, Taiwan, Korea Selatan, Vietnam, Hong Kong, India, Jepun dan Maldives.

Mohideen berkata, bagaimanapun, pasir sungai masih dieksport menerusi pengeluaran AP dan ia menimbulkan kebimbangan terhadap kesan alam sekitar serta masyarakat, yang melebihi kadar pengisian pasir semulajadi dan mengganggu habitat akuatik.

“Selain kesan kepada ekosistem sungai, perlombongan pasir juga menyebabkan pembentukan semula bahan organik dan toksik, yang seterusnya mengurangkan kualiti air,” katanya.

Menurut beliau, CAP juga mengesani banyak isu pentadbiran dan penguatkuasaan berhubung perlombongan pasir dan antaranya keadaan atau keperluan teknikal selalu dibangkitkan oleh pelombong pasir.

Oleh itu, beliau menggesa pihak berkuasa agar mengelakkan penggunaan pasir yang tidak perlu dalam projek pembinaan dan menghentikan penggunaan sisa dalam projek seperti penebusan tanah dan mewah.

“Apa yang perlu dilakukan oleh kerajaan Malaysia ialah menyedari bahawa pasir adalah sumber yang terhad kerana banyak negara telah mulai melarang mengeksportnya,” katanya.- BERNAMA

(Visited 104 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button