Jenayah

Penyamar Pegawai LHDNM kembali

SUDAH beberapa kali peringatan diberikan pihak berkuasa terutamanya pihak polis berkaitan dengan isu penipuan yang menyebabkan mangsa kehilangan berpuluh ribu ringgit.

Seakan tidak diendahkan, masih ramai yang terpedaya dan menjadi mangsa penipuan dengan sindiket penyamaran sebagai pegawai polis, kastam dan lain-lain.

Terbaharu, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) memberitahu terdapat sindiket penipuan yang menyamar sebagai pegawai LHDNM kembali aktif.

LHDN dalam kenyataannya berkata, modus operandi (MO) sindiket tersebut ialah dengan memaklumkan mangsa terdapat tunggakan cukai yang belum dijelaskan dan perlu melakukan pindahan wang ke akaun bukan milik LHDN.

“Kedua ialah mangsa dimaklumkan terlibat dengan aktiviti pelarian cukai dan penggubahan wang haram sebelum disambung ke anggota polis yang akan mengarahkan pindahan wang ke akaun pihak ketiga.

“Ketiga, mangsa akan dihubungi polis yang meminta mangsa untuk memuat naik aplikasi palsu dari Bank Negara Malaysia (BNM) ekoran baki cukai tertunggak.

“MO seterusnya ialah menerusi panggilan daripada individu yang mendakwa dirinya pegawai LHDN memaklumkan mangsa terdapat baki cukai tertunggak syarikat yang didaftarkan atas namanya,” katanya.

Jelasnya, orang ramai diingatkan supaya sentiasa semak dengan LHDN menerusi panggilan atau hadir ke cawangan LHDNM terdekat.

Ujarnya lagi, orang ramai tidak perlu mendedahkan butiran diri atau perbankan serta jangan klik pada pautan yang diterima melalui e-mel yang meragukan.

“Pastikan bayaran tunggakan cukai dibuat kepada LHDN sahaja dan jangan muat turun aplikasi atau membuat panggilan semula ke nombor telefon yang tidak dikenali,” katanya.

Tambahnya, orang ramai boleh melayari portal rasmi LHDN di www.hasil.gov.my. dan sebarang pertanyaan serta maklum balas berkaitan perkara ini juga boleh diajukan kepada LHDNM menerusi talian Hasil Care Line di talian 03-8911 1000 / 603-89111100 (Luar Negara), HASiL Live Chat; borang Maklum Balas di portal rasmi LHDNM di pautan pantas https://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/MaklumBalas/ms-my/; dan media sosial rasmi LHDNM iaitu: Facebook – https://www.facebook.com/LHDNM atau Twitter – https://twitter.com/LHDNMofficial. – SM

(Visited 348 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button