Jenayah

Empat GRO warga Vietnam, dua lelaki positif dadah ditahan

Empat wanita warga asing dari Vietnam dipercayai bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO) adalah antara 312 individu yang ditahan dalam Op Bersepadu Khas Mencegah Maksiat oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka malam tadi.

Dalam Op yang dijalankan serentak di empat buah premis hiburan di sekitar Melaka Raya juga turut menahan seorang lelaki tempatan berusia 42 tahun tahun yang juga penjaga pusat hiburan kerana kesalahan mengambil pekerja warga asing tanpa permit yang sah.

Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, lelaki berkenaan melakukan kesalahan di bawah Seksyen 55B(1) Akta Imigresen 1959/63 manakala empat wanita warga asing berusia antara 31 hingga 38 tahun melakukan kesalahan Perkara 39 (b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 menyalahguna pas lawatan sosial serta permit.

Sebahagian daripada wanita yang diperiksa dalam satu serbuan di sebuah premis karaoke di Melaka Raya, Melaka.

Menurutnya, mereka ditahan sewaktu bekerja sebagai pelayan di premis hiburan yang diserbu dan kesemua mereka telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah untuk siasatan lanjut.

“Dua lelaki berusia antara 25 dan 50 tahun pula ditahan selepas mereka didapati positif dadah jenis methamphetamine dan ditangkap di bawah Seksyen 15(1)(A) Akta Dadah Berbahaya 1952.


“Lelaki berusia 25 tahun bekerja sebagai mekanik penghawa dingin dan seorang lagi bekerja sendiri berasal dari Melaka gagal dalam ujian saringan air kencing dalam serbuan di sebuah premis karaoke,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Op bersepadu yang dijalankan serentak diketuai, Ketua JSJ IPK Melaka, Lim Meng Seah dibantu Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) dan Jabatan Intergriti dan Pematuhan Standard (JIPS) bermula pukul 12.00 tengah malam dan berakhir kira-kira pukul 3.30 pagi tadi.

Zainol berkata, dalam Op yang dijalankan secara serentak di empat buah premis itu telah memeriksa seramai 312 pelanggan membabitkan 195 lelaki warga tempatan dan 112 wanita tempatan serta lima wanita warga asing.

Beliau berkata, sepanjang tempoh Januari hingga Jun tahun ini, polis negeri berjaya melakukan 56 serbuan dan berjaya menangkap 195 orang melibatkan 49 warga tempatan manakala 49 pula adalah warga asing.

Daripada jumlah tersebut ujarnya, sebanyak 42 orang berjaya dituduh di mahkamah manakala 13 lagi masih dalam peringkat siasatan bagi tujuan pertuduhan.

“Polis negeri juga telah melaksanakan sebanyak 45 pemeriksaan ke atas premis hiburan, rumah urut (25) dan hotel-hotel bajet (25) bagi mengesan sebarang aktiviti maksiat dan mengesan individu-individu yang disenarai hitam,” ujarnya.

Menurutnya, sebanyak 23 tindakan saman ke atas pemilik premis telah dikeluarkan melibatkan enam saman premis beroperasi tanpa lesen perniagaan, saman premis melanggar syarat beroperasi lebih masa (17) dan saman premis menjual minuman keras tanpa lesen (1). – SM

(Visited 23 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button