Nasional

Penjawat awam perundangan selar Tommy hina pegawai undang-undang

Persatuan Pegawai-pegawai Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan (JALSOA) hari ini menyatakan bantahan tegas mereka atas penulisan Tommy Thomas dalam buku My Story: Justice In The Wilderness yang dianggap menghina pegawai undang-undang secara keseluruhan.

Jawatankuasa Eksekutif JALSOA dalam satu kenyataan berkata tindakan bekas peguam negara itu – yang menggelarkan pegawai undang-undang di Jabatan Peguam Negara sebagai peguam kerajaan yang hanya menunggu gaji bulanan dan menantikan pencen selepas persaraan serta menjalankan kerja pentadbiran – bersifat jahat malah menghina.

“JALSOA amat terkilan dan terjejas dengan kenyataan beliau itu. Pegawai undang-undang sama ada yang ditempatkan di Jabatan Peguam Negara mahupun di mahkamah sentiasa menjalankan amanah yang dipertanggungjawabkan kepada mereka menurut peruntukan undang-undang tanpa mengira siapakah peguam negara atau kerajaan yang memerintah.

“Cabaran, dugaan dan tekanan dalam tugasan seorang pegawai undang-undang memberi implikasi bukan kepada mana-mana individu dan pelanggan tetapi memberi kesan kepada kepentingan negara dan kepentingan awam dalam menegakkan kedaulatan undang-undang.

“Kami tidak bekerja untuk mengejar populariti individu, malahan dasar kerahsiaan, integriti dan profesionalisme yang ditekankan dalam perkhidmatan awam sentiasa melatari setiap tindakan dan tatakerja pegawai undang-undang,” menurut kenyataan itu.


Menurut JALSOA lagi, sebagai bekas ketua perkhidmatan kepada pegawai undang-undang dalam Skim Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan, Thomas tidak wajar mempertikaikan kemampuan, keupayaan dan keboIehan pegawai undang-undang di bawah seliaannya dalam tempoh singkat, apatah lagi menyebut dengan jelas nama pegawai undang-undang dalam bukunya dengan cemuhan.

“Pegawai undang-undang yang mempunyai kelayakan dan kelulusan akademik yang setaraf dengan peguam swasta hadir mewakili kerajaan dan berjuang dalam pertikaian pihak-pihak di mahkamah termasuk pertikaian dan rundingan antarabangsa demi kepentingan negara.

“Pandangan Thomas amat tidak bertamadun dan mencerminkan kedangkalan pemikirannya. Apa-apa jua perasaan tidak puas hati beliau semasa berurusan dengan pegawai undang-undang tidak wajar dan tidak patut dicoretkan untuk tatapan umum.

“Persepsi itu adalah ciptaan Thomas sendiri atas kegagalannya dalam menerajui Jabatan Peguam Negara serta memahami pentadbiran perkhidmatan awam,” katanya.

JALSOA juga kata kenyataan tersebut berpendirian Thomas sewajarnya menjaga kehormatan dan nama baik peguam negara yang pernah disandang serta institusi perkhidmatan perundangan dalam perkhidmatan awam sebagaimana yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.- Bernama

(Visited 185 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button