Nasional

Kakitangan J&T terpaksa buat video penjelasan

Selepas viral pekerja syarikat pengangkutan J&T mencampak barangan pelanggan sebagai protes sikap majikan, para petugas terpaksa membuat video penjelasan.

Dalam video pendek itu para pekerja terbabit menafikan majikan mereka telah memotong elaun sebagaimana ditularkan.

Selain itu mereka juga memohon maaf di atas apa yang berlaku sehingga menjejaskan nama syarikat.

Tujuh pekerja Syarikat kurier J&T Express (J&T) Perak, tampil memohon maaf berhubung insiden membaling barang pelanggan yang tular di media sosial.

Menerusi video berdurasi 57 saat dimuat naik menerusi J&T Express Malaysia – Perak, seorang pekerja itu menegaskan tiada isu dalaman atau potongan gaji membabitkan pekerja dan syarikat itu.

“Kami ingin jelaskan bahawa tiada tindakan mogok. Sekali lagi kami memohon maaf kerana menjejaskan nama syarikat dan barang pelanggan rakyat Malaysia.

“Kami sedaya upaya akan proses dan hantar barang pelanggan secepat mungkin,” katanya dalam rakaman video itu.

Terdahulu, J&T dalam satu kenyataan menjelaskan, insiden itu berlaku disebabkan sistem pengagihan bonus yang kurang jelas dalam kalangan kakitangan jabatan sehingga menjadi punca kejadian mogok serta tindakan membaling barangan milik pelanggan oleh kakitangan syarikat itu.

Sebelum ini, tular di media sosial video pekerja syarikat kurier membaling bungkusan pelanggan selepas dipercayai mogok susulan majikan mengurangkan komisen kerja.

Rakaman video berdurasi 15 saat di salah sebuah hub kurier syarikat itu turut menunjukkan lambakan timbunan bungkusan yang difahamkan mengalami kelewatan penghantaran.

Video itu mendapat pelbagai reaksi netizen dan pelanggan yang kesal dengan tindakan pekerja terbabit kerana dikhuatiri akan merosakkan barangan dalam bungkusan.

Sementara itu Pengurusan J&T Express Perak dalam satu kenyataan yang dimuat naik di Facebook J&T Express Malaysia-Perak berkata, perilaku yang ditunjukkan ketika mengagihkan bungkusan adalah secara ganas dan tidak menyenangkan.

“Pihak J&T Express akan menyediakan lebih banyak latihan kepada pekerja kami untuk meningkatkan mutu perkhidmatan.

“Sekali lagi, J&T Express memohon maaf atas kejadian tidak diingini dan akan sedaya upaya meningkatkan perkhidmatan mutu kami,” tulis pentadbir Facebook itu dalam kenyataan yang dimuat naik pada Ahad.

Menerusi kenyataan sama, syarikat kurier itu juga menjelaskan bahawa kejadian terbabit tidak ada kena mengena dengan tindakan mogok atau bayaran komisen.

“Segala perkara yang berlaku adalah satu salah faham semata-mata dan perkara menyebutkan bahawa pekerja J&T Express mogok dan komisen adalah tidak benar,” katanya.

Bagaimanapun sejak tular video tindakan protes pekerja itu, ramai memilih syarikat pesaing lain seperti Pos Malaysia bagi mengendalikan penghantaran barangan yang dibeli secara dalam talian.

(Visited 636 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button