Politik

Pengerusi PKR Sabah mahu saman Raja Petra

PENGERUSI Majlis Pimpinan Negeri Parti Keadilan Rakyat Sabah Datuk Christina Liew akan mengambil tindakan undang-undang terhadap blogger, Raja Petra Kamaruddin berikutan penerbitan artikel bertajuk ‘PKR mahu umat Islam menolak Al-Quran’.

Christina yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri Api-Api dan Ahli Parlimen Tawau berkata, Raja Petra telah memutarbelitkan kenyataan beliau berkaitan penyertaan PAS dalam Dewan Undangan Negeri dan Kabinet Sabah.

“Tidak ada dalam kenyataan saya menyebut PKR Sabah mahu orang Islam menolak sama ada Al-Quran mahupun Islam itu sendiri.

“Tuduhan yang dibuat oleh Raja Petra sangat menjijikkan dan menipu, bertujuan untuk memfitnah saya selaku seorang wakil rakyat dan Pengerusi PKR Sabah.

“Oleh itu, saya mengecam tuduhan ini. Saya telah mengarahkan pasukan undang-undang saya untuk mengkaji perkara ini dan mempertimbangkan untuk meneruskan tindakan undang-undang,” kata Christina.


Raja Petra menerbitkan artikel terbabit di laman web Malaysia-Today semalam. Dalam artikel itu Raja Petra mentafsirkan kenyataan Christina.

“Ketika Christina Liew mengatakan “watak negara yang berbilang budaya”, dia bermaksud pluralisme, norma di Sabah. Itu bermaksud semua agama adalah baik dan semua agama sama dan saksama. Tidak kira sama ada anda seorang Yahudi, Kristian, Muslim, Hindu, Buddha, dan lain-lain. Semua orang akan pergi ke syurga, tidak kira agama yang anda percayai.

“Dengan kata lain, anda tidak perlu percaya kepada Allah, Nabi Muhammad, Al-Quran, Hadis, dan lain-lain. Anda boleh mengikuti Ayah Pin dan menjadi anggota Kerajaan Teko dan anda masih boleh masuk ke syurga,” tulis Raja Petra dalam artikelnya.

Dalam kenyataan asalnya, Christina menentang keras pelantikan Pas di dalam Dewan Undangan Negeri Sabah dan menjadi anggota Kabinet Kerajaan Sabah.

Christina menekankan bahawa cadangan untuk memasukkan perwakilan PAS dalam Badan Perundangan dan pemerintahan Negeri tidak dapat diterima oleh rakyat.

Ini memandangkan Sabah adalah negeri contoh dalam Malaysia untuk keharmonian berbilang kaum, antara agama dan pelbagai budaya yang mewujudkan kedamaian dan menjadi mercu tanda kehidupan rakyat negeri itu.

“Rakyat Sabah menganut prinsip kesederhanaan dan konsep kesatuan dalam kepelbagaian, berbanding dengan budaya politik perpecahan yang berpotensi menyebabkan perkauman.

“Kami mengecam ideologi politik yang bertentangan dengan multikulturalisme (sebagai falsafah politik), dan tidak dapat menerima jenama politik ekstremisme.

“Rakyat menolak secara terang-terangan cadangan penyertaan perwakilan Pas di DUN Sabah kerana tindakan itu akan melukai citra berbilang budaya di negeri ini,” kata Christina.-SM

 

(Visited 91 times, 1 visits today)

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Back to top button