Nasional

Melaka terus jadi tumpuan syarikat dari Jerman

Lokasi strategik, infrastruktur serta akses kepada jurutera dan pekerja mahir kekal menjadi punca utama syarikat-syarikat dari Jerman terus berminat untuk melabur di Melaka.

Pengerusi Kanan Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, setakat ini kerajaan negeri telah menerima sebanyak RM15 bilion pelaburan daripada syarikat-syarikat dari Jerman.

Menurutnya, salah satu syarikat daripada negara itu yang membuat pelaburan terbesar ialah syarikat Infineon Technologies (Malaysia) Sdn. Bhd. yang sudah bertapak di negeri ini sejak lebih 50 tahun dalam menghasilkan produk semi konduktor.

Beliau berkata, sebuah lagi syarikat terbaharu yang turut membuat pelaburan ialah Leuze Electronic Malaysia Sdn. Bhd. yang mula bertapak di kawasan Perindustrian Bukit Rambai, Tangga Batu di sini.

Katanya, syarikat pengeluar dan pembuatan alat elektronik sensor itu menjadikan Melaka sebagai lokasi pertama pengembangan operasinya di Asia Tenggara dengan nilai pelaburan sebanyak RM100 juta.

“Syarikat-syarikat dari Jerman melihat Melaka adalah tempat terbaik untuk melabur dan mengembangkan perniagaan mereka kerana dari sudut budaya pekerjaan hampir sama dengan budaya yang telah diamalkan di negara mereka.

“Mereka tertarik untuk melabur di Melaka kerana kita menyediakan banyak prasarana selain tenagakerja berkemahiran tinggi kerana kita ada institusi pengajian tinggi dalam bidang teknikal yang mampu memenuhi permintaan daripada pelabur yang datang ke sini,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis perasmian Leuze Electronic Malaysia Sdn. Bhd. yang telah disempurnakan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali di kawasan Perindustrian Bukit Rambai, Melaka di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Leuze, Ulrich Balbach; Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan Hubungan Masyarakat, Tenaga Kerja dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ngwe Hee Sem dan Pegawai Kewangan negeri, Datuk Salhah Salleh.

Ab. Rauf berkata, syarikat itu telah menyatakan hasrat untuk menambah pelaburan sebanyak RM100 juta lagi bagi pembukaan sebuah lagi kilang yang lebih besar tidak lama lagi.

Menurutnya, kilang yang mempunyai keluasan sehingga 7,000 kaki persegi itu kini mempunyai seramai 100 pekerja dan dijangka akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan untuk menarik lebih ramai anak tempatan bekerja di kilang tersebut sehingga hujung tahun ini. – SM

(Visited 520 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button