fbpx
Berita

Pendidikan tinggi perlu utamakan pelajar, bukan universiti semata-mata – Raja Muda Perlis

Madinah Al Munawwarah, Arab Saudi – Pendidikan tinggi perlu mengutamakan fokus kepada pelajar dan bukan semata-mata kepada universiti masing-masing sahaja.

Kaedah berfikir baharu di kalangan pimpinan universiti, pensyarah, bahkan penentu dasar pendidikan tinggi hendaklah diusahakan agar tujuan sebenar pendidikan ke arah melahirkan individu yang berfikiran sejahtera dan bertindak rasional dapat dijayakan.

“Setiap perancangan dan tindakan yang diambil oleh institusi pendidikan hendaklah menjadikan pelajar sebagai paksi agar hasil yang dicapai nanti akan menyumbamg kepada keberhasilan pelajar”.

Demikian titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menurut siaran media dikeluarkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) ketika baginda berkenan berangkat menerima kunjungan sembah mengadap oleh Setiausaha Majlis Universiti Islam Madinah, Arab Saudi iaitu Prof. Dr. Mahmud Abdul Rahman Qadah di Hotel Intercontinental Madinah Al Munawarrah, Arab Saudi pagi kelmarin.

Hadir sama ialah Rektor Al-Madinah International University (MEDIU), Dr Fadlan Mohd Othman dan Bekas Rektor MEDIU, Prof. Dr. Mohammad Khalifa Al-Tamimi.


Turut mengiringi baginda ialah Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Haji Mohd Nazim Mohd Noor.

Tuanku Syed Faizuddin Putra kemudiannya turut menyarankan agar pihak pengurusan universiti masing-masing secara amnya supaya melangkah serius dalam menawarkan kurikulum pengajian yang terus memenuhi keperluan industri. Adalah lebih baik jika semakan kurikulum ini dilaksanakan setiap tahun bagi memastikan setiap apa yang dipelajari oleh para pelajar sentiasa relevan dengan kehendak industri.

Selain daripada bagaimana melahirkan modal insan berkualiti, mempunyai kemahiran tinggi, kreatif, inovatif dan berdaya saing, berikanlah juga tumpuan kepada pembangunan pelajar secara holistik melalui aktiviti akademik dan kurikulum yang bersepadu.

Mohd Nazim pula menyentuh mengenai nilai insaniah yang mesti dipupuk menerusi aktiviti kelab, persatuan dan ko-kurikulum yang dapat terus menyerlahkan lagi keperibadian tinggi mahasiswa apabila bergraduasi kelak.

Show More

Related Articles

Back to top button