fbpx
Nasional

Pemuda UMNO tegas desak kerajaan wujudkan RCI Tabung Haji

PERGERAKAN Pemuda UMNO kekal tegas mendesak agar Kerajaan Perikatan Nasional (PN) menubuhkan Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) menyiasat sebarang salah laku dan penyelewengan dalam urusniaga Tabung Haji.

Ketuanya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, suruhanjaya itu perlu menyiasat kebenaran tuduhan Pakatan Harapan bahawa berlaku penyelewengan dalam Tabung Haji.

Menurut Asyraf Wajdi, sehingga kini tidak ada satupun tuduhan penyelewengan oleh PH itu di dakwa di mahkamah. RCI itu juga boleh menyiasay termasuk dakwaan berlakunya jualan lambak ke atas 76.2 peratus ladang-ladang milik TH Plantations dengan harga di bawah nilai pasaran.

“Ini tidak termasuk aset-aset hartanah Tabung Haji bernilai RM10 bilion yang sudah terjual kepada syarikat milik Kementerian Kewangan, Urusharta Jemaah Sdn Bhd.

“Aset-aset ini termasuklah tanah TRX bernilai RM400 juta dan hotel-hotel Tabung Haji seluruh Malaysia yang selama ini banyak menyumbang kepada perolehan Tabung Haji,” kata Asyraf Wajdi dalam satu kenyataan hari ini.


Semalam Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Dr. Zulkifli Mohamad berkata, kerajaan hanya akan menimbangkan penubuhan jawatankuasa petugas khas untuk mengkaji urus niaga Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) jika ada keperluan.

Zulkifli berkata demikian untuk menjawab soalan Dr Mujahid Yusof (PH-Parit Buntar) yang bertanya sama ada kerajaan Perikatan Nasional bercadang menubuhkan suruhanjaya siasatan diraja (RCI) bagi menyiasat urus niasa Tabung Haji.

Menurut Asyraf Wajdi, sebelum PH memerintah, Tabung Haji tidak pernah gagal dalam merealisasikan matlamat penubuhan yang bukan sahaja menguruskan segala keperluan urusan dan hal ehwal kebajikan jemaah Haji, tetapi juga menjana ekonomi umat Islam.

Kecemerlangan Tabung Haji bukan sahaja diiktiraf oleh dunia malah prestasi kewangan yang memberangsangkan setiap tahun membolehkan pendeposit berkongsi hibah dan bonus setiap tahun secara purata tidak kurang daripada 6.25 peratus  setelah ditolak zakat 2.5 peratus.

“Sebab itulah, apabila pelbagai tuduhan penyelewengan, skandal, defisit yang melanda secara tiba-tiba sejurus selepas PH memerintah mencetuskan pelbagai tanda tanya dan polemik berterusan.

“Justeru, Pemuda UMNO menuntut agar Kerajaan PN dapat menilai kembali keputusan untuk tidak menubuhkan Suruhanjaya Siasatan DiRaja ini,” kata Asyraf Wajdi.

Menurut Asyraf Wajdi, hanya RCI mampu menghentikan polemik tuduh-menuduh atas segala penyelewengan dan penyimpangan terhadap urusniga TH yang tiada berkesudahan.

Ia sekaligus mengembalikan keyakinan 9.3 juta pendeposit dan pelabur institusi terulung umat Islam ini.-SM

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Back to top button