NasionalpilihanTravel

Program Magic Of The Night 2022 semarakkan Industri Pelancongan dan Kebudayaan

KEMENTERIAN Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Melaka menganjurkan program Magic Of The Night (MOTN) 2022 selama tiga (3) hari bermula pada 5 hingga 7 Ogos 2022 bertempat di Dataran Sungai Melaka, Melaka.

Program ini merupakan salah satu inisiatif Kementerian untuk menyemarakkan kegiatan ekonomi di negeri Melaka di mana ia melibatkan ramai pihak, terutamanya kepada penggiat industri pelancongan, seni, budaya dan warisan. Negeri Melaka terkenal sebagai destinasi pelancongan yang kaya dengan budaya serta adatnya yang bersesuaian diketengahkan kepada seluruh Keluarga Malaysia.

Tanda perasmian acara kemuncak Malam Gala Magic of The Night 2022 telah disempurnakan oleh Tuan Yang Terutama Tun Seri Setia (Dr.) Haji Mohd Ali bin Mohd Rustam, Yang di-Pertua Negeri Melaka. Sementara itu, YAB Datuk Seri Utama (Dr.) Haji Sulaiman Bin Md. Ali, Ketua Menteri Melaka dalam ucapannya berkata, program ini dilihat dapat memberi impak besar dalam menyerlahkan seni dan budaya Keluarga Malaysia.

Jelas beliau lagi, inisiatif ini bukan sahaja dapat menghangatkan kembali pelaksanaan aktiviti secara fizikal, malah turut merancakkan kembali perkembangan ekonomi dan industri pelancongan di negeri Melaka. Ia juga turut mempromosikan industri seni dan budaya tempatan dengan pelbagai kaum sebagai satu produk pelancongan yang boleh diketengahkan ke peringkat antarabangsa.


YB Datuk Seri Dr. Santhara J.P., Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya pula berkata, Festival mega seumpama ini akan dapat memberi impak besar ke atas sektor pelancongan negara, khususnya negeri Melaka yang dapat menarik lebih ramai pelancong dalam dan luar negara. Mengaktifkan semula persembahan seni budaya tempatan melalui inisiatif seperti ini dapat mengembalikan kemeriahan warna-warni Keluarga Malaysia.

Antara pengisian menarik yang telah diatur sepanjang tiga hari program ialah Perarakan Bot Berhias yang mewakili suku kaum/etnik di Malaysia, Karnival Kerjaya Pelancongan yang menawarkan lebih 1,000 peluang pekerjaan melibatkan 15 majikan serta Perasmian Galeri Warisan Kota Melaka & Pelancaran Buku Warisan Kebangsaan Orang Hidup (WAKOH) sebagai mempromosikan Galeri Warisan Kota Melaka sebagai produk pelancongan baharu dan pusat rujukan di Negeri Melaka.

Turut diadakan ialah Magical Melaka Food & Fruit Fest yang menampilkan pelbagai produk makanan tempatan dan pameran Replika Durian (terbesar di Malaysia) untuk dicatatkan di dalam “Malaysia Guinness Book of Record”. Festival Kesenian Kota Selatan pula mengetengahkan keunikan persembahan kebudayaan bagi 3 negeri di selatan tanah air iaitu Johor, Melaka dan Negeri Sembilan.

Hadir sama dalam majlis perasmian ini ialah pemimpin di peringkat Persekutuan dan Negeri serta barisan pengurusan tertinggi MOTAC.

Artikel berkaitan > Nikmati keenakan makanan tradisi dan viral di Melaka Magical Melaka Food & Fruit Fest MOTN 2022

(Visited 86 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button