Uncategorized

Tular warga asing beli petrol bersubsidi di Rawang, KPDN jalankan siasatan

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor sedang menjalankan siasatan berhubung kes tular sebuah stesen minyak di Rawang yang menjual petrol bersubsidi kepada warga asing, baru-baru ini.

Pengarah KPDN Selangor, Mohd Zuhairi Mat Radey, berkata siasatan itu membabitkan aduan sebuah kenderaan bernombor pendaftaran Thailand mengisi RON 95 di stesen minyak berkenaan.

Katanya, hasil semakan menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV), kejadian berlaku pada jam 9.16 pagi, Isnin lalu.

“Seorang lelaki disyaki warga Thailand membayar RM100 di kaunter bayaran untuk membeli minyak berkenaan dan semakan pada resit jualan mendapati kereta itu mengisi minyak petrol RON 95 sebanyak 48.8 liter,” katanya pada sidang media di Pejabat KPDN Selangor.

Beliau berkata, pemilik premis iaitu lelaki berusia lingkungan 40-an sudah diberi notis arahan bagi mengemukakan dokumen mengikut Seksyen 8 Akta Kawalan Bekalan 1961.

Katanya, dokumen yang diperlukan itu sudah dikemukakan individu berkenaan dan disita bagi tindakan lanjut.

“Siasatan terperinci masih dijalankan dan sabit kesalahan memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM1 juta atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

“Ini kes pertama yang direkodkan di Selangor pada tahun ini dan KPDN memandang serius perkara ini dan memberi amaran kepada semua pengusaha stesen minyak supaya tidak menjual petrol bersubsidi kepada warga asing,” katanya.

Terdahulu, satu rakaman tular di laman X memaparkan dua individu mengisi petrol bersubsidi yang menimbulkan pelbagai reaksi negatif netizen yang mempertikaikan tindakan warga asing yang semakin berani melanggar peraturan ditetapkan Kerajaan Malaysia.

 

(Visited 205 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button