Luar Negara

Pemimpin Islam Britain mahu masjid terus ditutup

PARA pemimpin Islam di Britain mahu masjid terus ditutup buat sementara waktu walaupun kerajaan negara itu memberitahu rumah ibadat sudah boleh dibuka untuk ibadat secara individu.

Rancangan untuk membuka semua gereja, masjid dan rumah-rumah ibadat lain telah dikritik oleh para imam dengan mengatakan kerajaan gagal mengambil kira bahawa ibadat di masjid selalunya adalah secara berkumpulan.

Perdana Menteri Britain, Boris Johnson dijangka mengumumkan pada Selasa untuk melonggarkan larangan untuk tempat-tempat ibadat.

Ibadat secara bersendirian dibenarkan dari 15 Jun, tetapi majlis perkahwinan dan aktiviti berkumpulan dilarang sehingga 4 Julai.

Pengerusi dan juga imam Lembaga Penasihat Masjid dan Imam Kebangsaan (MINAB), Qari Asim memberi amaran menerima pendekatan itu boleh memberikan cabaran lebih besar kerana sifat ibadah secara berjemaah di masjid.

Beliau meminta supaya masjid kekal ditutup sehingga ia benar-benar selamat untuk berbuat demikian dan mereka boleh melakukan sembahyang secara berjemaah.

“Perbezaan asas antara masjid dengan rumah ibadat lain ialah yang paling utama masjid digunakan untuk sembahyang secara berjemaah.

“Sembahyang secara individu boleh dilakukan di mana-mana sahaja, terutama di rumah. Membuka semula  masjid pada 15 Jun akan menyebabkan lebih banyak cabaran kepada masjid dan imam kerana masyarakat sudah tentu merasakan mereka sudah boleh beribadat secara kolektif,” katanya.

Majlis Muslim Britain (MCB) juga melahirkan kebimbangan yang sama berhubung rancangan kerajaan itu.

“Masjid selalunya digunakan untuk sembahyang secara berjemaah, sekarang ini terdapat ketidaktentuan dan kebimbangan daripada pemimpin-pemimpin masjid tentang bagaimana peraturan baharu ini dapat dilaksanakan,” kata Setiausaha Agung MCB, Harun Khan.

Kerajaan British telah memberi keutamaan untuk membuka semula tempat-tempat ibadat.

Setiausaha Komuniti, Robert Jenrick berkata, tempat ibadat merupakan penyumbang kepada kebaikan untuk negara.

Masjid dan lain-lain rumah ibadat di United Kingdom telah ditutup pada Mac ketika wabak Covid-19 merebak dan meragut nyawa di negara itu.

Orang ramai daripada semua anutan agama terpaksa mengubah cara mereka beribadat dan meraikan hari kebesaran secara drastik, dengan orang Islam di Britain menyambut Ramadan dan meraikan Aidilfitri secara tertutup.

Perdana Menteri, dijangka mengumumkan kelonggaran untuk rumah ibadat pada Selasa. – Arab News

(Visited 343 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button