Agama

Pemegang amanah harus diberi kepercayaan sepenuhnya urus wakaf – Raja Muda Perlis

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mengingatkan semua bahawa wakaf merupakan salah satu daripada instrumen dalam kewangan sosial Islam yang dapat memberikan impak ekonomi dan sosial kepada Ummah. Ia mempunyai potensi yang cukup besar untuk dikembangkan sesuai dengan keperluan semasa. Apatah lagi wakaf mempunyai jangkauan yang sangat luas sama ada dari sudut sumber penyumbang dana mahupun dari aspek penerima manfaat.

Atas maksud itulah, pihak Majlis Agama Islam Negeri yang telah diberikan amanah sebagai Pemegang Amanah Tunggal Harta Wakaf di negeri-negeri harus diberikan kepercayaan penuh dalam melaksanakan fungsi dan peranannya seiring dengan peruntukan undang-undang yang dijamin oleh Perlembagaan Negara.

Demikian titah baginda ketika berkenan merasmikan sesi pembukaan ”Webinar Wakaf 2021 Peringkat Negeri Perlis” yang dianjurkan dalam talian oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bersama Yayasan Waqaf Malaysia serta Jabatan Wakaf Zakat dan Haji (JAWHAR).

Webinar bertajuk “Duit Yang Hangpa Wakaf Kat MAIPs Guna Buat Apa Tah?” berkenaan dilaksanakan melalui platform Fb Live Yayasan Waqaf Malaysia dan dimoderatorkan oleh Penceramah Bebas yang juga Penerbit Radio JAKIM dan RTM, Syafiq Liow. Dua ahli panel undangan adalah Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Waqaf Malaysia Prof Madya Dr. Amir Shaharuddin dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs,Haji Mohd Nazim Mohd Noor.

Tuanku Syed Faizuddin Putra berharap agar dengan pelaksanaan webinar ini, dapat memberikan gambaran jelas berkaitan Pengurusan Wakaf yang dilaksanakan dengan penuh amanah dan berdedikasi oleh Majlis Agama Islam Negeri-negeri.

Bagi pihak Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) juga Tuanku Raja Muda merangkap Tuanku Yang DiPertuanya mengambil kesempatan merakamkan setinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang telah menjayakan pelbagai inisiatif Wakaf yang telah dilaksanakan oleh MAIPs.

‘Terima kasih juga kepada semua para penyumbang wakaf yang budiman, semoga sumbangan semua akan sentiasa kekal abadi mendapat limpahan kurnia keberkatan daripada Alla Azza Wajalla’, tambah baginda.

Sementara itu, Mohd Nazim dalam diskusi beliau pula menambah bahawa pihak MAIPs telah berjaya melaksanakan pembangunan Kompleks Bangunan Wakaf Pusat Dialisis Hospital Tuanku Fauziah (HTF) Kangar melalui sumbangan wakaf yang disempurnakan penyerahannya pada 3 Februari 2020.

Buat masa ini, MAIPs sedang mempromosikan kutipan wakaf untuk dana projek pembangunan Pusat Autism Negeri Perlis (A-HEART) dengan kerjasama Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis.

‘Bagi yang berhasrat untuk menyumbang bolehlah menyalurkan sumbangan melalui dalam talian dengan melayari laman rasmi MAIPs www.maips.gov.my atau menggunakan aplikasi JomPay dan MyTulus serta boleh menyumbang dengan mengimbas Kod QR DuitNow’ terang beliau.

(Visited 346 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button