Nasional

Pembentangan semula Bajet 2023 diselaras ikut keadaan ekonomi

BAJET 2023 mungkin menyaksikan beberapa pelarasan berdasarkan ekonomi semasa ia dibentangkan semula, kata Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, hari ini.

Bagaimanapun, Tengku Zafrul menegaskan bajet yang dibentangkan pada 7 Oktober lalu bukan sahaja ‘belanjawan yang bertanggungjawab’ tetapi juga ‘inklusif, lebih progresif’ dan yang paling penting ialah ‘mampan’.

Bercakap pada Sidang Kemuncak Asia Future, anjuran The Straits Times yang julung kali diadakan di Singapura, Tengku Zafrul menekankan bahawa belanjawan itu akan menyaksikan penurunan defisit.

“Mungkin terdapat beberapa pelarasan berdasarkan ekonomi pada masa itu. Terus terang saya beritahu anda. Kami kena lihat (keadaan) ekonomi global yang akan menjejaskan ekonomi Malaysia,” katanya.

Bajet itu bukan sahaja mengutamakan perbelanjaan dalam sektor terpenting bagi pengembangan ekonomi tetapi juga membangunkan kumpulan yang betul untuk bergerak ke hadapan termasuk kawasan yang kurang maju.

Segmen beliau telah direkodkan dan dimoderatorkan oleh Ketua Biro Malaysia The Straits Times, Shannon Teoh.

Tengku Zafrul berkata demikian ketika ditanya sama ada Bajet 2023 akan dibentangkan semula tanpa sebarang perubahan atau atau ‘hampir dengan apa yang dibentangkan pada bulan lalu’ jika Barisan Nasional (BN) memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

Kepada soalan sama ada kerajaan BN akan memperkenalkan dasar ‘kurang populis’ selepas pilihan raya umum seperti subsidi bersasar atau memperkenalkan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), Tengku Zafrul menjawab: “Kami jelas tidak akan komited terhadap sebarang langkah drastik yang tidak digariskan kerana bimbang ia akan menjejaskan momentum pertumbuhan.”

“Kami perlu meningkatkan kutipan hasil kerana ia masih agak rendah. Perkara ini perlu ditangani,” katanya.

Kutipan hasil Kerajaan Persekutuan dijangka berkurangan sebanyak 4.4 peratus menjelang 2023 kepada RM272.6 bilion atau 15 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berikutan jangkaan kutipan hasil bukan cukai yang lebih rendah.

Hasil bukan cukai pada 2023 dijangka merosot sebanyak 23 peratus dari tahun ke tahun kepada RM67 bilion disebabkan dividen yang kurang memberangsangkan daripada entiti kerajaan.

Ini sejajar dengan laporan Tinjauan Fiskal dan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan pada 7 Oktober lalu.

Bajet 2023 dibentangkan tiga hari sebelum Parlimen dibubarkan. –BERNAMA

(Visited 148 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button