Nasionalpilihan

Ekspo Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia 2022 cipta rekod

EKSPO Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia 2022 yang melabuhkan tirainya Rabu lalu, 27 Julai 2022, telah dihadiri hampir 14,000 pengunjung, Rata-rata daripada mereka adalah dalam kalangan pencari kerja daripada pelbagai kategori seperti lepasan sekolah, para graduan, penganggur dan pekerja yang ingin mengembangkan kerjaya atau mencari peluang yang lebih baik.

Ekspo kerjaya yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur selama 5 hari bermula dari 23 Julai 2022 yang telah dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri bin Yaakob ini mencipta kejayaan apabila membantu seramai 1,712 pencari kerja memperoleh pekerjaan, manakala 10,698 pencari kerja pula berjaya ke peringkat temu duga kedua.

Ekspo ini merupakan karnival kerjaya terbesar yang pernah dianjurkan oleh Kementerian Sumber Manusia (KSM) menerusi Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), di mana lebih 1,000 majikan daripada pelbagai industri dan perusahaan sosial (social enterprise) mengambil bahagian dengan menawarkan lebih daripada 30,000 peluang pekerjaan. Menariknya, peluang-peluang untuk pencari kerja menceburi sektor gig dan keusahawanan juga disediakan di ekspo kerjaya ini.

Penganjuran program ini telah turut mendapat pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records sebagai ekspo kerjaya terbesar pernah dianjurkan di Malaysia. Ekspo ini bukan


sahaja tertumpu kepada penawaran peluang pekerjaan dalam sektor formal dan informal, malah turut dimeriahkan dengan penganjuran pelbagai aktiviti lain seperti pertandingan debat, slot-slot ceramah, pertandingan sukan maya (e-Sports), serta ‘Career Exploration’ untuk mendedahkan para pelajar di peringkat sekolah menengah mengenai kemahiran yang diperlukan oleh pasaran buruh semasa serta masa hadapan. Program ini juga diserikan lagi dengan persembahan hiburan dan juga aktiviti cabutan bertuah yang diadakan setiap hari.

Portal Pekerjaan Negara, MYFutureJobs, juga di bawah KSM, memainkan peranan yang sangat penting dalam menentukan kejayaan penganjuran ekspo kerjaya ini, serta karnival-karnival kerjaya lain di seluruh negara, juga pelaksanaan Program JKIP dan perkhidmatan pekerjaan PERKESO.

Sebagai penyedia perkhidmatan pekerjaan, PERKESO komited untuk terus mempergiat usaha dan memperkenal pelbagai inisiatif untuk merancakkan lagi pasaran buruh negara. Pada masa yang sama, PERKESO akan terus aktif melaksanakan intervensi awal bagi menambah baik pasaran buruh semasa bagi mengatasi isu ‘mismatch’, ‘under- employment’ dan juga kekurangan tenaga kerja dalam beberapa sektor seperti sektor pembuatan dan perhotelan.

PERKESO menyeru semua Keluarga Malaysia yang sedang mencari peluang pekerjaan, sama ada dalam kategori eksekutif dan bukan eksekutif, untuk berdaftar dengan Portal MYFutureJobs. Pencari kerja akan diberikan akses kepada pelbagai peluang pekerjaan dan boleh menyertai karnival kerjaya serta program-program kebolehpekerjaan yang dianjurkan PERKESO di seluruh Malaysia sepanjang tahun. – SM

Artikel berkaitan > PERKESO kesal laporan portal berita tidak tepat, mengelirukan

(Visited 42 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button